=))

Thursday, December 30, 2010

~~Malaikat kecil~~



Pada setiap petang Jumaat, selepas solat Jumaat, selepas melayani para jamaah di Masjid
Imam dan putera lelakinya yang berumur 11 tahun akan keluar ke bandar untuk
mengedarkan risalah bertajuk “Jalan Ke Syurga” dan juga menyampaikan ceramah agama.

Pada petang Jumaat itu, seperti biasa Imam dan putera lelakinya akan keluar untuk mengedarkan risalah.
Bagaimanapun pada petang tersebut keadaan di luar rumah sangat sejuk dan hujan pula turun dengan sangat lebat.

Budak itu memakai baju sejuk dan baju hujan dan berkata “OK ayah, saya sudah bersedia”.

Ayahnya berkata “Bersedia untuk apa?”.

Budak itu menjawab “Ayah, masa telah tiba untuk kita keluar mengedarkan buku-buku tentang Islam ini”.

Ayahnya membalas “Anakku, di luar sana sangat sejuk dan hujan lebat pulak”.

Dengan muka yang kehairanan, budak itu bertanya ayahnya, “Tetapi ayah, adakah manusia tidak masuk neraka jika hari hujan?”

Ayahnya menjawab, “Anakku, Ayah tak akan keluar dengan cuaca begini..”.

Dengan nada sedih, budak itu bertanya, “Ayah, boleh tak benarkan saya pergi?”.

Ayahnya teragak-agak seketika, kemudian berkata, “Anakku, awak boleh pergi.
Bawalah buku ini semua dan berhati-hati” .

Kemudian, budak itu telah keluar dan meredah hujan.
Budak sebelas tahun ini berjalan dari pintu ke pintu dan lorong-lorong sekitar bandar.
Dia memberikan risalah dan buku kepada setiap orang yang ditemuinya.

Setelah dua jam berjalan dalam hujan, akhirnya tinggal hanya satu naskhah padanya.
Ketika itu dia telah basah kuyup dan berasa sejuk hingga ke tulang.
Budak itu berhenti di satu penjuru jalan sambil mencari seseorang untuk diberikan buku tersebut.
Namun keadaan di situ lengang.
Kemudian dia berpatah balik ke rumah pertama yang dia lalu di lorong itu.
Dia berjalan di kaki lima menuju ke rumah tersebut.
Bila sampai di pintu hadapan, dia menekan suis loceng namun tiada sesiapa yang membuka pintu.
Dia tekan lagi dan lagi, tetapi masih tiada jawapan.
Dia tunggu lagi tetapi masih tiada jawapan.

Akhirnya dia berpaling untuk meninggalkan rumah tersebut, tetapi seperti ada sesuatu yang menghalangnya.
Dia kembali ke pintu itu dan menekan lagi suis loceng dan buat pertama kalinya mengetuk pintu dengan kuat.
Dia tunggu, kemudian seperti sesuatu di anjung rumah itu menghalangnya supaya jangan pergi.
Dia menekan suis loceng sekali lagi dan kali ini dengan perlahan pintu dibuka.

Berdiri di hadapan pintu itu seorang perempuan tua yang berwajah kesedihan.
Dengan perlahan perempuan tua itu bertanya, “Apa yang boleh saya bantu awak, wahai budak?”.

Dengan senyuman serta mata yang bersinar yang boleh menyinarkan bumi, budak itu berkata,
“Makcik, saya mohon maaf kalau saya telah mengganggu makcik.
Saya hanya ingin memberitahu bahawa Allah sangat sayang dan sentiasa melindungi makcik.
Saya datang ini hendak memberikan sebuah buku yang terakhir ada pada saya ini.
Buku ini menerangkan semua tentang Tuhan,
tujuan sebenar Tuhan menjadikan kita dan bagaimana untuk mencapai kebahagiaan daripada-Nya” .

Kemudian, budak itu menyerahkan buku terakhir itu dan berpaling untuk balik.
Sebelum berjalan balik, perempuan itu berkata,
“Terima kasih ya anak dan semoga Tuhan memberkatimu” .

Selepas solat Jumaat pada minggu berikutnya, Imam menyampaikan ceramah agama seperti biasa.
Dia menamatkan ceramahnya dengan bertanya,
“ Ada sesiapa yang ingin bertanya soalan atau ingin berkata sesuatu?”.

Dengan perlahan, di barisan belakang di kalangan tempat duduk muslimat,
suara seorang perempuan tua kedengaran di speaker,
“Tiada di kalangan jemaah yang berkumpul ini mengenali saya.
Saya tidak pernah hadir sebelum ini.
Sebelum hari Jumaat yang lepas, saya belum lagi memeluk agama Islam bahkan tidak terfikir langsung untuk memeluknya.
Suami saya telah meninggal dunia beberapa tahun yang lalu,
meninggalkan saya sebatang kara, saya benar-benar keseorangan di dunia ini.”

Pada petang Jumaat yang lepas, ketika cuaca sejuk dan hujan lebat,
saya telah bertekad untuk membunuh diri kerana sudah putus harapan untuk hidup.
Jadi saya mengambil seutas tali dan sebuah kerusi lalu menaiki loteng di rumah saya.
Saya ikat tali tersebut dengan kuat pada kayu palang di bumbung rumah kemudian berdiri di atas kerusi,
hujung tali satu lagi saya ikat di sekeliling leher saya.

Sambil berdiri di atas kerusi, saya berasa benar-benar keseorangan, patah hati.
Saya hampir-hampir hendak melompat tiba-tiba loceng pintu berbunyi di tingkat bawah dan saya tersentak.
Saya berfikir untuk menunggu sebentar, dan pasti orang itu akan pergi.
Saya tunggu dan tunggu, tetapi bunyi loceng semakin kuat dan bertubi-tubi.
Kemudian orang yang menekan suis loceng itu, mengetuk pintu pula dengan kuat.

Saya berfikir sendirian lagi “Siapalah di muka bumi ini yang boleh buat begini?
Tiada siapa pernah tekan suis loceng itu atau nak berjumpa dengan saya”.
Saya longgarkan tali ikatan di leher dan kemudian pergi ke pintu hadapan.
Ketika itu bunyi loceng kuat dan semakin kuat.

Bila saya buka pintu dan lihat, sukar untuk dipercayai oleh mata saya,
di anjung rumah saya itu berdiri seorang budak yang sangat comel yang bersinar wajahnya seperti malaikat,
tidak pernah saya jumpa sebelum ini di dalam hidup saya.

Budak itu tersenyum.
Oh! Saya tidak dapat hendak gambarkan kepada anda semua.
Perkataan yang keluar daripada mulutnya menyebabkan hati saya yang telah lama mati tiba-tiba hidup semula, seruan budak itu seperti suara bayi yang sangat comel.
“Makcik, saya datang hendak memberitahu bahawa Allah sangat menyayangi dan sentiasa melindungi makcik”. Kemudian dia memberikan kepada saya sebuah buku bertajuk “ Jalan Ke Syurga” yang saya sedang pegang ini.

Bila “malaikat kecil” itu telah pulang meredah sejuk dan hujan,
saya menutup pintu dan membaca dengan perlahan setiap perkataan yang tertulis di dalam buku tersebut.
Kemudian saya naik semula ke loteng untuk mendapatkan semula tali dan kerusi.
Saya tak perlukannya lagi.

Oleh sebab di belakang buku ini ada tertera alamat tempat ini,
saya sendiri datang ke masjid ini ingin mengucapkan syukur kepada Tuhan.
Tuhan kepada budak kecil yang telah datang tepat pada waktunya,
yang dengan demikian telah terhindar jiwa saya daripada keabadian di dalam neraka.

Ramai yang berada di dalam masjid ketika itu menitiskan air mata.
Mereka melaungkan TAKBIR…ALLAH HU AKBAR…gemaan takbir bergema di udara.
Imam iaitu ayah kepada budak itu turun dari mimbar pergi ke barisan hadapan di mana
“malaikat kecil” itu sedang duduk.

Dia mendakap puteranya dengan air mata keluar tanpa disedarinya.
Mungkin tidak ada jemaah yang memiliki saat yang lebih mulia ini dan mungkin di alam semesta ini belum pernah melihat seorang ayah yang penuh kasih sayang dan penghormatan terhadap anaknya.
Inilah satu peristiwa..

Terima kasih kerana membaca kisah ini.
Jangan biarkan kisah ini di sini sahaja.
Bacalah lagi dan sampaikan kepada yang lain.

Sila kongsi kisah menarik ini..

Wednesday, December 1, 2010

~~tolong sampaikan sedekah ku kepada para pelacur~~



Seorang ulama besar Hadis sedang asyik membacakan serta mensyarahkan maksud hadis kepada para muridnya.Tiba-tiba sang guru berhenti membacakan hadis dan bertanyakan sesuatu yang membuatkan semua murid terpinga-pinga.

“Muridku sekalian, aku punya hajat yang sangat besar.Adakah sesiapa yang mampu menunaikan hajatku ini?” Tanya sang murabbi pada seluruh muridnya.

Salah seorang murid kanan Syeikh menjawab dengan penuh adab, “Hajat apakah wahai Tuan Guru? Khabarkanlah kepada kami,moga kami mampu untuk menunaikannya untuk Tuan Guru”.

Sang Guru menarik nafas dengan perlahan seraya berkata “ Aku punya sedikit harta yang ingin aku sedekahkan,adakah sesiapa yang ingin membantuku mengagihkan harta ini?”

“Kami bersedia membantumu wahai Tuan Guru untuk mengagihkan harta ini”jawab Murid tersebut dengan bersemangat.

“Bolehkah Tuan Guru perincikan kepada siapakah harta ini akan dibahagikan?”seorang murid yang lain bertanya dengan lebih lanjut.

“Hartaku ini akan aku sedekahkan kepada para pelacur yang berada di tempat sekian-sekian”Jawab Tuan Guru dengan tenang.

Keadaan menjadi bingit,masing-masing keliru dengan tujuan utama Tuan Guru yang terkenal alim dan soleh ini.

“Aku sudah mengagakkan bahawa kamu semua tentu tidak akan mampu untuk melaksanakan hajatku ini.Kalau begitu tidaklah mengapa.Biarlah aku sendiri yang pergi menyampaikannya.”Tuan Guru menjawab dengan tenang.

Para murid rasa bersalah di atas sikap yang mereka tunjukkan.Salah seorang murid kanan Tuan Guru menawarkan dirinya untuk menyampaikan harta tersebut.Mana mungkin dia boleh membiarkan Tuan Guru yang terkenal hebat dan wara’ ini dibiarkan masuk dan bertandang ke tempat hina seperti itu.

“Ketuklah setiap pintu rumah pelacuran tersebut dan ketika kamu menyampaikan sedekah ini katakan bahawa ini adalah sedekah daripadaku(Nama tuan guru) dan doakan aku semoga diberkati oleh Allah taala” Tuan Guru memberikan pesanan kepada muridnya tersebut.

Maka sang murid yang mulia ini terus memulakan tugasnya dengan penuh tanda tanya di dalam pemikirannya mengapakah Tuan Guru ingin benar memberikan sedekah kepada golongan hina ini.Namun arahan Tuan Guru perlu dilaksanakan.Sang murid menutup mukanya dan terus masuk ke kawasan pelacuran tersebut.

Beliau mengetuk setiap pintu rumah pelacuran di kawasan itu dan menyampaikan apa yang dipesan oleh Tuan Guru kepadanya.

“Assalamualaikum, maafkan saya mengganggu,saya adalah utusan daripada Tuan Guru fulan bin fulan ingin menyampaikan sedekah daripada beliau kepada kalian.Beliau berpesan agar mendoakan beliau semoga dirahmati oleh Allah taala”.

Terkejut para pelacur bila mendengar nama Tuan Guru yang alim dan wara tersebut sudi memberikan sedekah kepada mereka.Setelah selesai tugasnya, sang murid terus beredar daripada kawasan hitam tersebut sambil menghelakan nafasnya.

Masing-masing ternanti-nanti apakah yang akan berlaku selanjutnya setelah peristiwa tersebut.Keesokkan paginya , sesuatu yang mengejutkan telah berlaku.Seluruh bumi Syria gempar apabila keseluruhan pelacur yang ada di kawasan tersebut telah beramai-ramai datang menunaikan solat Subuh di Masjid Tuan Guru.Mereka datang mendengar majlis pengajian daripada Tuan Guru dan bertaubat daripada segala dosa-dosa yang telah mereka lakukan.Barulah semua murid faham mengapakah Tuan Guru benar-benar ingin menyampaikan sedekah tersebut kepada golongan pelacur berkenaan.

Ini merupakah karamah yang Allah taala kurniakan kepada Tuan Guru yang wara’ ini.Dakwahnya yang sangat lembut dan berkesan memberikan impak yang sangat besar kepada kehidupan pelacur-pelacur tersebut.

Tuan Guru yang saya maksudkan di sini ialah al-Alim al-Allamah Muhaddis al-Syam Sayyid Badruddin al-Hasani rahimahullahu taala.Beliau wafat pada 1354 Hijriyah.Beliau digelar “Khatimah al-Huffaz dan al-Muhaddissin” yang bermaksud penutup kepada para ulama Hadis yang terkemuka.Mula mengarang kitab ketika umurnya belumpun sampai 20 tahun.

Beliau mengajar di Masjid Umawi pelbagai bidang ilmu seperti Nahwu, Sarf, Balaghah, Mantiq, Fiqh dan lain-lain.Menurut Syeikh al-Allamah Mahmud Rashid al-Attar rahimahullah (wafat 1362 Hijriyah), Syeikh Badruddin al-Hasani juga mengajar kitab Tafsir Baidhawi tanpa melihat kepada kitab dan tanpa memegang apa-apa kertas pun ditangannya.Tafsir tersebut telah dihafalnya dan dikuasainya dengan begitu hebat.

Ketika umur Syeikh al-Allamah Badruddin al-Hasani mencapai 30 tahun beliau mula mengajar Sahih Bukhari di Masjid al-Sadat.Ini juga dilakukan tanpa melihat kitab sedikitpun.Beliau menghafal keseluruhan Sahih Bukhari di dalam dadanya.Menurut para ulama tidak pernah dilihat seseorang yang begitu alim menyampaikan pengajian dengan keseluruhan bidang ilmu seperti Syeikh Badruddin al-Hasani rahimahullah.Ketika mensyarahkan Sahih Bukhari , keseluruhan ilmu dibahaskannya termasuklah ilmu perubatan, hikmah-hikmah, falsafah dan lain-lain.

Antara kelebihan Syeikh Badruddin al-Hasani rahimahullah juga ialah, semuanya mampu untuk memahami apa yang disampaikannya,bukan hanya para ulama dan penuntut ilmu, malah para petani dan orang awam yang biasa juga mampu untuk memahami apa yang disampaikan oleh Syeikh al-Murabbi rahimahullah.Ini kerana keikhlasannya yang begitu tinggi ketika menyampaikan pengajian.Beliau juga digelar Qutb al-Zaman (Wali Allah yang menjadi paksi kepada seluruh para wali ketika itu)dan Mujaddid pada zaman tersebut.

Semoga Allah taala merahmatimu wahai Tuan Guru yang mulia.

Saya mendengar kisah tersebut daripada Guru Saya yang Mulia, Syeikhuna al-Allamah Dr Wafiq al-Hijazi al-Hanafi hafizahullah.

Al-Fatihah buat Syeikh al-Allamah al-Muhaddis Sayyid Badruddin al-Hasani rahimahullah.

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Al-Azhar al-Syarif
,Kaherah Mesir