=))

Sunday, May 29, 2011

Tanda-Tanda Saat Kematian....


  
Adapun tanda-tanda kematian mengikut ulamak adalah benar dan ujud cuma amalan dan ketakwaan kita sahaja yang akan dapat membezakan kepekaan kita kepada tanda-tanda ini.
Rasulallah SAW diriwayatkan masih mampu memperlihat dan menceritakan kepada keluarga dan sahabat secara lansung akan kesukaran menghadapi sakaratulmaut dari awal hinggalah akhirnya hayat Baginda.
Imam Ghazali rahimahullah diriwayatkan memperolehi tanda-tanda ini sehinggakan beliau mampu menyediakan dirinya untuk menghadapi sakaratulmaut secara sendirian. Beliau menyediakan dirinya dengan segala persiapan termasuk mandinya, wuduknya serta kafannya sekali cuma ketika sampai bahagian tubuh dan kepala sahaja beliau telah memanggil abangnya iaitu Imam Ahmad Ibnu Hambal untuk menyambung tugas tersebut. Beliau wafat ketika Imam Ahmad bersedia untuk mengkafankan bahagian mukanya.
Adapun riwayat -riwayat ini memperlihatkan kepada kita sesungguhnya Allah SWT tidak pernah berlaku zalim kepada hambanya. Tanda-tanda yang diberikan adalah untuk menjadikan kita umat Islam supaya dapat bertaubat dan bersedia dalam perjalanan menghadap Allah SWT. Walaubagaimanapun semua tanda-tanda ini akan berlaku kepada orang-orang Islam sahaja manakala orang-orang kafir iaitu orang yang menyekutukan Allah nyawa mereka ini akan terus di rentap tanpa sebarang peringatan sesuai dengan kekufuran mereka kepada Allah SWT.

Adapun tanda-tanda ini terbahagi kepada beberapa keadaan :

Tanda 100 hari sebelum hari mati.

Ini adalah tanda pertama dari Allah SWT kepada hambanya dan hanya akan disedari oleh mereka-mereka yang dikehendakinya. Walaubagaimanapun semua orang Islam akan mendapat tanda ini cuma samada mereka sedar atau tidak sahaja.
Tanda ini akan berlaku lazimnya selepas waktu Asar. Seluruh tubuh iaitu dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki akan mengalami getaran atau seakan-akan mengigil. Contohnya seperti daging lembu yang baru disembelih dimana jika diperhatikan dengan teliti kita akan mendapati daging tersebut seakan-akan bergetar.
Tanda ini rasanya lazat dan bagi mereka sedar dan berdetik di hati bahawa mungkin ini adalah tanda mati maka getaran ini akan berhenti dan hilang setelah kita sedar akan kehadiran tanda ini. Bagi mereka yang tidak diberi kesedaran atau mereka yang hanyut dengan kenikmatan tanpa memikirkan soal kematian , tanda ini akan lenyap begitu sahaja tanpa sebarang munafaat. Bagi yang sedar dengan kehadiran tanda ini maka ini adalah peluang terbaik untuk memunafaatkan masa yang ada untuk mempersiapkan diri dengan amalan dan urusan yang akan dibawa atau ditinggalkan sesudah mati.

Tanda 40 hari sebelum hari mati

Tanda ini juga akan berlaku sesudah waktu Asar. Bahagian pusat kita akan berdenyut-denyut.Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita akan gugur dari pokok yang letaknya di atas Arash Allah SWT.Maka malaikatmaut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat persediaannya ke atas kita antaranya ialah ia akan mula mengikuti kita sepanjang masa.
Akan terjadi malaikatmaut ini akan memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan jika ini terjadi, mereka yang terpilih ini akan merasakan seakan-akan bingung seketika.Adapun malaikatmaut ini wujudnya cuma seorang tetapi kuasanya untuk mencabut nyawa adalah bersamaan dengan jumlah nyawa yang akan dicabutnya.

Tanda 7 hari

Adapun tanda ini akan diberikan hanya kepada mereka yang diuji dengan musibah kesakitan di mana orang sakit yang tidak makan secara tiba-tiba ianya berselera untuk makan.

Tanda 3 hari

Pada ketika ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi kita iaitu diantara dahi kanan dan kiri.Jika tanda ini dapat dikesan maka berpuasalah kita selepas itu supaya perut kita tidak mengandungi banyak najis dan ini akan memudahkan urusan orang yang akan memandikan kita nanti.
Ketika ini juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi dan bagi orang yang sakit hidungnya akan perlahan-lahan jatuh dan ini dapat dikesan jika kita melihatnya dari bahagian sisi.
Telinganya akan layu dimana bahagian hujungnya akan beransur-ansur masuk ke dalam.Telapak kakinya yang terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar ditegakkan.

Tanda 1 hari

Akan berlaku sesudah waktu Asar di mana kita akan merasakan satu denyutan di sebelah belakang iaitu di kawasan ubun-ubun di mana ini menandakan kita tidak akan sempat untuk menemui waktu Asar keesokan harinya.

Tanda akhir

Akan berlaku keadaan di mana kita akan merasakan satu keadaan sejuk di bahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya akan naik ke bahagian halkum. Ketika ini hendaklah kita terus mengucap kalimah syahadah dan berdiam diri dan menantikan kedatangan malaikatmaut untuk menjemput kita kembali kepada Allah SWT yang telah menghidupkan kita dan sekarang akan mematikan pula.


******Bila Malaikat Mencabut Nyawa******

Baginda Rasullullah S.A.W bersabda:
"Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai kelutut. Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar. Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar. Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu."

Sambung Rasullullah S.A.W. lagi:
"Kalau orang yang nazak itu orang yang beriman, maka malaikat Jibrail A.S. akan menebarkan sayapnya yang disebelah kanan sehingga orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di syurga. Apabila orang yang beriman itu melihat syurga, maka dia akan lupa kepada orang yang berada disekelilinginya. Ini adalah kerana sangat rindunya pada syurga dan melihat terus pandangannya kepada sayap Jibrail A.S."

Kalau orang yang nazak itu orang munafik, maka Jibrail A.S. akan menebarkan sayap disebelah kiri. Maka orang yang nazak tu dapat melihat kedudukannya di neraka dan dalam masa itu orang itu tidak lagi melihat orang disekelilinginya. Ini adalah kerana terlalu takutnya apabila melihat neraka yang akan menjadi tempat tinggalnya.

Dari sebuah hadis bahawa apabila Allah S.W.T. menghendaki seorang mukmin itu dicabut nyawanya maka datanglah malaikat maut.Apabila malaikat maut hendak mencabut roh orang mukmin itu dari arah mulut maka keluarlah zikir dari mulut orang mukmin itu dengan berkata:

"Tidak ada jalan bagimu mencabut roh orang ini melalui jalan ini kerana orang ini sentiasa menjadikan lidahnya berzikir kepada Allah S.W.T." Setelah malaikat maut mendengar penjelasan itu, maka dia pun kembali kepada Allah S.W.T. dan menjelaskan apa yang diucapkan oleh lidah orang mukmin itu. Lalu
Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:

"Wahai malaikat maut, kamu cabutlah ruhnya dari arah lain." Sebaik saja malaikat maut mendapat perintah Allah S.W.T. maka malaikat maut pun cuba mencabut roh orang mukmin dari arah tangan. Tapi keluarlah sedekah dari arah tangan orang mukmin itu, keluarlah usapan kepala anak-anak yatim dan keluar penulisan ilmu. Maka berkata tangan: Tidak ada jalan bagimu untuk mencabut roh orang mukmin dari arah ini, tangan ini telah mengeluarkan sedekah, tangan ini mengusap kepala anak-anak yatim dan tangan ini menulis ilmu pengetahuan."

Oleh kerana malaikat maut gagal untuk mencabut roh orang mukmin dari arah tangan maka malaikat maut cuba pula dari arah kaki. Malangnya malaikat maut juga gagal melakukan sebab kaki berkata:

"Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana kaki ini sentiasa berjalan berulang alik mengerjakan solat dengan berjemaah dan kaki ini juga berjalan menghadiri majlis-majlis ilmu."

Apabila gagal malaikat maut, mencabut roh orang mukmin dari arah kaki, maka malaikat maut cuba pula dari arah telinga. Sebaik saja malaikat maut menghampiri telinga maka telinga pun berkata:

"Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana telinga ini sentiasa mendengar bacaan Al-Quran dan zikir." Akhir sekali malaikat maut cuba mencabut orang mukmin dari arah mata tetapi baru saja hendak menghampiri mata maka berkata mata:

"Tidak ada jalan bagimu dari arah ini sebab mata ini sentiasa melihat beberapa mushaf dan kitab-kitab dan mata ini sentiasa menangis kerana takutkan Allah." Setelah gagal maka malaikat maut kembali kepada Allah S.W.T. Kemudian Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: "Wahai malaikatKu, tulis AsmaKu ditelapak tanganmu dan tunjukkan kepada roh orang yang beriman itu." Sebaik saja mendapat perintah Allah S.W.T. maka malaikat maut menghampiri roh orang itu dan menunjukkan Asma Allah S.W.T.

Sebaik saja melihat Asma Allah dan cintanya kepada Allah S.W.T maka keluarlah roh tersebut dari arah mulut dengan tenang.

Abu Bakar R.A. telah ditanya tentang kemana roh pergi setelah ia keluar dari jasad. Maka berkata Abu Bakar R.A:"Roh itu menuju ketujuh tempat:-

1. Roh para Nabi dan utusan menuju ke Syurga Adnin.
2. Roh para ulama menuju ke Syurga Firdaus.
3. Roh mereka yang berbahagia menuju ke Syurga Illiyyina.
4. Roh para shuhada berterbangan seperti burung di syurga mengikut kehendak mereka.
5. Roh para mukmin yang berdosa akan tergantung di udara tidak di bumi dan tidak di langit sampai hari kiamat.
6. Roh anak-anak orang yang beriman akan berada di gunung dari minyak misik.
7. Roh orang-orang kafir akan berada dalam neraka Sijjin, mereka diseksa berserta jasadnya sampai hari Kiamat."

Telah bersabda Rasullullah S.A.W: Tiga kelompok manusia yang akan dijabat tangannya oleh para malaikat pada hari mereka keluar dari kuburnya:-

1. Orang-orang yang mati syahid.
2. Orang-orang yang mengerjakan solat malam dalam bulan ramadhan.
3. Orang berpuasa di hari Arafah.

PENUTUP
Sesungguhnya marilah kita bertaqwa dan berdoa kepada Allah SWT semoga kita adalah di antara orang-orang yang yang dipilih oleh Allah yang akan diberi kesedaran untuk peka terhadap tanda-tanda mati ini semoga kita dapat membuat persiapan terakhir dalam usaha memohon keampunan samada dari Allah SWT mahupun dari manusia sendiri dari segala dosa dan urusan hutang piutang kita.Walaubagaimanapun sesuai dengan sifat Allah SWT yang maha berkuasa lagi pemurah lagi maha mengasihani maka diriwatkan bahawa tarikh mati seseorang manusia itu masih boleh diubah dengan amalan doa iaitu samada doa dari kita sendiri ataupun doa dari orang lain. Namun ianya adalah ketentuan Allah SWT semata-mata.
Oleh itu marilah kita bersama-sama berusaha dan berdoa semuga kita diberi hidayah dan petunjuk oleh Allah SWT serta kelapangan masa dan kesihatan tubuh badan dan juga fikiran dalam usaha kita untuk mencari keredhaan Allah SWT samada di dunia mahupun akhirat.
Apa yang baik dan benar itu datangnya dari Allah SWT dan apa yang salah dan silap itu adalah dari kelemahan manusia itu sendiri.
WALLAHUA`LAM

Sunday, May 15, 2011

MEGUBAH CIPTAAN ALLAH TANDA TIDAK MENSYUKURI NIKMAT


Islam melarang keras sebarang pengubahan ciptaan asal bahagian tubuh seseorang yang dilakukan dengan alasan untuk kelihatan cantik atau lebih cantik selain bertujuan kosmetik.

Bagaimanapun, jika ia dilakukan dengan tujuan perubatan akibat kemalangan dan kecacatan, hukumnya menjadi harus.

Jelasnya, tujuan yang dibenarkan adalah bagi memperbaiki organ tubuh yang rosak akibat trauma kemalangan selain untuk mengembalikan kecacatan kepada kejadian tubuh manusia normal.

Dalil yang mengharamkan pembedahan plastik untuk tujuan selain kesihatan berdasarkan ayat 117 hingga 119 surah an-Nisa’ iaitu Allah berfirman yang bermaksud:

“Apa yang mereka sembah selain daripada Allah itu tidak lain hanya berhala dan mereka tidak menyembah melainkan syaitan yang derhaka, yang dilaknat Allah dan yang mengatakan: Demi sesungguhnya aku akan mengambil daripada kalangan hamba-Mu, bahagian tertentu (untuk menjadi pengikutku).

“Dan demi sesungguhnya aku akan menyesatkan mereka (daripada kebenaran) dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang ternak) lalu mereka membelah telinga binatang itu dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah.”

Ulama tafsir memiliki tiga pendapat mengenai takrifan ‘mengubah fitrah kejadian dan apa jua yang sudah ditetapkan Allah’ iaitu mengubah bentuk tubuh dan organ haiwan serta manusia; mengubah tugas atau fungsi sesuatu seperti menjadikan batu atau matahari sebagai Tuhan dan mengubah syariat Islam iaitu menghalalkan yang diharamkan Allah serta sebaliknya.

Terdapat juga hadis yang menyebut: “Rasulullah s.a.w melaknat perempuan yang membuat tatu dan minta dibuat tatu dan yang mengikir gigi dan yang minta dikikir giginya.” (Riwayat Thabarani)

Tatu iaitu memberikan tanda pada muka dan kedua-dua tangan dengan warna biru dalam bentuk ukiran. Sebahagian orang Arab, khususnya golongan wanita membuat tatu di sebahagian besar tubuh badan mereka.

Bahkan pada masa pengikut agama membuat tatu dalam bentuk persembahan dan lambang agama mereka, misalnya orang Kristian melukis salib di tangan dan dada mereka.

Perbuatan yang buruk menjadi semakin besar pengharamannya apabila ia dilakukan dengan menyeksa dan menyakiti badan iaitu dengan menusuk-nusukkan jarum pada badan orang yang dibuat tatu itu.

Semua ini menyebabkan laknat, baik terhadap yang membuat tatu atau orang yang minta dibuat tatu. Cantik biarlah selari dengan kehendak Allah dan cantik hakiki bermula dengan kecantikan dalaman (inner beauty).

Tuesday, May 10, 2011

ERTI PERSAHABATAN...~~~;))


1. Persahabatan adalah satu satunya pintu kebebasan kita.Banyak perkara yang tak dapat kita nyatakan kepada isteri sekali pun,tetapi dapat dinyatakan kepada sahabat.Persahabatan yang jujur adalah salah satu tangga kenaikan.

2. Supaya beroleh sahabat,hendaklah diri sendiri layak buat disahabati orang.

3. Sahabat mu suka pada mu, tetapi tidaklah tiap tiap orang yang suka kepada mu itu adalah sahabat mu.

4. Kesenangan hidup mu adalah memperbanyak teman,tetapi bukti persahabatan yang setia ialah diwaktu kesukaran.

5. Yang semulia mulia kewajipan bersahabat ialah mengetahui kehendak dan kemahuan sahabat mu sebelum dikatakan.Dan perkenankan permintaannya sebelum dimintanya.

6. Kalau mempunyai banyak sahabat, janganlah jadi sahabat untuk seorang sahaja.

7. Kalau sahabat mu tertawa,hendaklah dikatakan apa sebab dia senang , kalau sahabat mu menangis,engkau mesti periksa apa sebab dia susah.

8. Jika engkau memberi sesuatu pada sahabat mu,bererti memberikan kepada diri mu sendiri.

9. Bila orang telah merasa dirinya besar,dia lupa akan salahnya,hanya sahabat yang setia yang sanggup membuka matanya.

10. Teman yang 'berudang disebalik batu' adalah seumpama anjing ditepi jalan,yang ditujunya hanya tulang yang akan dilemparkan kepadanya,bukan tangan yang melemparkan tulang itu.

:)

Sunday, May 8, 2011

~~SELAMAT HARI IBU~~


Orang kata aku lahir dari perut mak....
(bukan orang kata...memang betul)
Bila dahaga, yang susukan aku....mak
Bila lapar, yang suapkan aku....mak
Bila keseorangan, yang sentiasa di sampingku....mak
Kata mak, perkataan pertama yang aku sebut....mak
Bila bangun tidur, aku cari....mak
Bila nangis, orang pertama yang datang....mak
Bila nak bermanja, aku dekati....mak
Bila nak bergesel, aku duduk sebelah....mak
Bila sedih, yang boleh memujukku hanya....mak
Bila nakal, yang memarahi aku....mak
Bila merajuk, yang memujukku cuma....mak
Bila melakukan kesalahan, yang paling cepat marah....mak
Bila takut, yang tenangkan aku....mak
Bila nak peluk, yang aku suka peluk....mak
Aku selalu teringatkan....mak
Bila sedih, aku mesti telefon....mak
Bila seronok, orang pertama aku nak beritahu....mak
Bila bengang, aku suka luah pada....mak
Bila takut, aku selalu panggil...."mmaaakkkk!"
Bila sakit, orang paling risau adalah....mak
Bila nak exam, orang paling sibuk juga....mak
Bila buat hal, yang marah aku dulu....mak
Bila ada masalah, yang paling risau....mak
Yang masih peluk dan cium aku sampai hari ni....mak
Yang selalu masak makanan kegemaranku....mak
Kalau balik ke kampung,
Yang selalu bekalkan ulam & lauk pauk.....mak
Yang selalu simpan dan kemaskan barang-barang aku....mak
Yang selalu berleter kat aku....mak
Yang selalu puji aku....mak
Yang selalu nasihat aku....mak
Bila nak kahwin..Orang pertama aku tunjuk dan rujuk.....mak
Aku ada pasangan hidup sendiri....
Bila seronok, aku cari....pasanganku
Bila sedih, aku cari....mak
Bila berjaya, aku ceritakan pada....pasanganku
Bila gagal, aku ceritakan pada....mak
Bila bahagia, aku peluk erat....pasanganku
Bila berduka, aku peluk erat....mak
Bila nak bercuti, aku bawa....pasanganku
Bila sibuk, aku hantar anak ke rumah....mak
Bila sambut valentine....aku bagi hadiah pada pasanganku
Bila sambut hari ibu....aku cuma dapat ucapkan “Selamat Hari Ibu”
Selalu....aku ingat pasanganku
Selalu....mak ingat kat aku
Bila-bila....aku akan telefon pasanganku
Entah bila....aku nak telefon mak
Selalu....aku belikan hadiah untuk pasanganku
Entah bila....aku nak belikan hadiah untuk mak
Renungkan:
"Kalau kau sudah habis belajar dan berkerja... Bolehkah kau kirim wang untuk mak? Mak bukan nak banyak... Lima puluh ringgit sebulan pun cukuplah".
Berderai air mata jika kita mendengarnya.....
Tapi kalau mak sudah tiada.....
MAKKKKK...RINDU MAK.... RINDU SANGAT....
Berapa ramai yang sanggup menyuapkan ibunya....
berapa ramai yang sanggup mencuci muntah ibunya.....
berapa ramai yang sanggup mengantikan lampin ibunya.....
berapa ramai yang sanggup membersihkan najis ibunya.....
berapa ramai yang sanggup membuang ulat dan membersihkan luka kudis ibunya....
berapa ramai yang sanggup berhenti kerja untuk menjaga ibunya.....
dan akhir sekali berapa ramai yang sembahyang JENAZAH ibunya....
Seorang anak mendapatkan ibunya yang sedang sibuk menyediakan makan malam di dapur lalu menghulurkan sekeping kertas yang bertulis sesuatu. Si ibu segera mengesatkan tangan di apron menyambut kertas yang dihulurkan oleh si anak lalu membacanya. Kos upah membantu ibu:
1) Tolong pergi kedai : RM4.00
2) Tolong jaga adik : RM4..00
3) Tolong buang sampah : RM1.00
4) Tolong kemas bilik : RM2.00
5) Tolong siram bunga : RM3.00
6) Tolong sapu sampah : RM3.00
Jumlah : RM17.00
Selesai membaca, si ibu tersenyum memandang si anak sambil sesuatu berlegar-legar si mindanya. Si ibu mencapai sebatang pen dan menulis sesuatu di belakang kertas yang sama.
1) Kos mengandungkanmu selama 9 bulan - PERCUMA
2) Kos berjaga malam kerana menjagamu - PERCUMA
3) Kos air mata yang menitis keranamu - PERCUMA
4) Kos kerunsingan kerana bimbangkanmu - PERCUMA
5) Kos menyediakan makan minum, pakaian, dan keperluanmu -PERCUMA
Jumlah Keseluruhan Nilai Kasihku - PERCUMA
Air mata si anak berlinang setelah membaca apa yang dituliskan oleh si ibu. Si anak menatap wajah ibu,memeluknya dan berkata, "Saya Sayangkan Ibu". Kemudian si anak mengambil pen dan menulis "Telah Dibayar" pada mukasurat yang sama ditulisnya.


Wednesday, May 4, 2011

RASULULLAH S.A.W IDOLA TERBAIK

Firman Allah swt:
“Tidaklah kami mengutus kamu selain sebagai rahmat bagi semesta alam” 
[ TMQ Al Anbiyaa’(21) : 107]

“Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar dimenangkan-Nya terhadap semua agama, meskipun orang-orang musyrik membencinya.”
[TMQ Ash Shaff (21) : 9]

“Dialah yang mengutus Rasul-Nya(dengan membawa) petunjuk (Al Quran) dan agama yang benar agar dimenangkan-Nya terhadap semua agama, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya”. 
[TMQ At Taubah(9):33]

Ayat-ayat di atas menerangkan kepada kita dengan jelas bahawa Allah swt telah mengutus Muhammad saw sebagai Rasul-Nya yang terakhir dengan membawa petunjuk yang merupakan Deenul Haq, mengatasi kesemua ajaran batil yang lain. Rasulullah saw melaksanakan tugas dakwahnya dengan berpandukan kepada wahyu. Jika kita mengharapkan kejayaan sepertimana yang telah dicapai oleh Rasulullah saw, maka pilihan yang ada hanyalah dengan memahami thariqah Rasulullah saw dan menjadikannya sebagai rujukan utama dan idola di dalam kehidupan kita.

Nabi saw menyeru kepada umat manusia keseluruhannya dan mengajak mereka untuk menerimakekuasaan Allah swt. tanpa menyekutukanNya dalam apa-apa bentuk sekalipun. Rasulullah saw telah memperuntukkan sebahagian besar hayatnya untuk menghapuskan kekufuran dan menegakkan agama Allah secara menyeluruh. Rasulullah saw telah membuktikannya melalui penubuhan negara Islam yang pertama di Madinah. Bahkan baginda tidak pernah berhenti dan usaha tersebut diteruskan oleh para sahabat dan para tabi’in sehingga hampir dua pertiga dunia tunduk kepada kedaulatan hukum Allah swt.


HUKUM MENGIKUTI PERBUATAN RASULULLAH 

Setiap perbuatan Rasulullah saw mengandungi perintah (thalab) baginda terhadap perbuatan tersebut. Perbuatan tersebut tidak menunjukkan makna wajib, sunah atau mubah. Hanya melalui indikasi (qarinah) tertentu dapat dipastikan samada perbuatan baginda saw tersebut membawa status wajib, sunah ataukah mubah. Kerana itulah, hukum asal perbuatan baginda saw hanya menunjukkan adanya perintah (thalab), bukan yang lain. Kemudian, qarinahlah yang menentukan status perbuatan tersebut samada wajib, sunah atau mubah. Terdapat dua aspek yang berkaitan dengan perbuatan Rasulullah saw. Aspek pertama adalah yang berkaitan dengan hukum mengikuti perbuatan baginda (hukmu al-ittiba’). Di dalam aspek ini, setiap muslim wajib menjadikan Rasulullah saw sebagai rujukan ketika melaksanakan suatu perbuatan. Aspek kedua ialah hukum melaksanakan perbuatan baginda (al-qiyam bihi). Di dalam aspek ini pula, status setiap perbuatan itu mesti ditentukan melalui indikasi yang terdapat di dalamnya; iaitu samada ianya adalah termasuk di dalam perkara wajib, sunah ataupun mubah.

Di dalam kitab-kitab sirah nabawiyah, kita akan mendapati bahawa sebahagian besar isi kandungannya adalah berkaitan dengan perjuangan Rasulullah saw dalam menegakkan hukum Allah swt di muka bumi ini. Perjuangan yang ditempuh oleh Rasulullah saw di dalam mengembangkandakwah Islam dan mendirikan negara mempunyai kaedah (thareqah) tertentu dan dilakukan secara berterusan tanpa henti. Ini menunjukkan kepada kita bahawa tanggungjawab untuk mengembang dakwah dan mendirikan negara Islam tidak boleh dinafikan dan ditinggalkan oleh mana-mana individu muslim.

MENEGAKKAN NEGARA ISLAM YANG PERTAMA

Setelah mengkaji sirah secara terperinci, kita akan mendapati bahawa titik bermulanya Islam tersebar ke seluruh dunia adalah melalui kekuatan sebuah negara. Rasulullah saw berjaya membuka kota Mekah dan berjaya mewujudkan rasa gerun di kalangan kuasa-kuasa besar dunia ketika itu, iaitu Rom dan Parsi. Melalui sirah Rasulullah saw juga, kita akan dapati bahawa perjuangan yang dilalui oleh Rasulullah saw bukanlah suatu kebetulan, akan tetapi ianya telah dirancang dengan teliti melalui petunjuk daripada Allah swt. Perjuangan Rasulullah saw menubuhkan negara Islam dapat dibahagikan kepada tiga tahap di mana tahap sebelumnya menjadi prasyarat kepada tahap kemudiannya. Ia bermula dengan tahap Sirriyah, tahap Dzahriyah dan kemudiannya tahap Thalabun Nusrah bagi meraih sokongan dan kekuasaan politik untuk menerapkan Islam.

Tahap 1 : Dakwah Sirriyah

Pada tahap yang awal ini, Nabi saw menyampaikan risalah Islam kepada para sahabat dan kerabatnya. Melalui bantuan kerabat dan sahabat dekat yang telah masuk Islam, Nabi saw mampu mengajak orang-orang lain untuk memeluk Islam. Misalnya, Abu Bakar ra mengajak Utsman bin Affan, Abdurrahman bin Auf, Sa’ad bin Abi Waqqash dan yang lainnya untuk memeluk Islam.

Sepanjang tahap awal ini, yang berlangsung selama tiga tahun, Islam disampaikan secara individu, serta belum ada pertembungan pemikiran atau ideologi dengan orang-orang musyrik dan kehidupan jahiliyyahnya. Pada masa ini, Nabi saw membina dan mengembangkan nafsiyyah dan aqliyyah para sahabat agar berjalan sesuai dengan Al-Quran serta menanamkan keyakinan yang kuat terhadapakidah Islam. Tanpa keyakinan akidah dan thariqah yang mendalam pada diri individu, seperti yang ada pada para sahabat Rasulullah saw, setiap gerakan yang menyeru kepada perubahan akan cenderung untuk melakukan kompromi dan mengelak daripada mencipta sebarang konflik. Oleh kerana itu, Rasulullah saw sangat mementingkan pembinaan keperibadian Islam yang kuat di kalangan para sahabatnya. Proses mendirikan sebuah negara Islam bukanlah bersifat individu. Rasulullah saw sendiri telah mendirikan parti yang terdiri daripada diri beliau sendiri dan para sahabatnya. Ia merupakan usaha yang bersifat kolektif dan pada peringkat Sirriyah inilah, Rasulullah saw telah membentuk sahabat-sahabatnya menjadi suatu unit yang bersedia untuk menempuh tahap seterusnya.

Tahap 2 : Tahap Dzahriyah ( Interaksi Terbuka)

Firman Allah swt:
“Maka sampaikanlah olehmu secara terang-terangan segala apa yang diperintahkan (kepadamu) dan berpalinglah dari orang-orang yang musyrik. Sesungguhnya Kami memelihara kamu daripada ( kejahatan) orang-orang yang memperolok-olokan (kamu), (yaitu) orang-orang yang menganggap adanya tuhan yang lain di samping Allah; maka mereka kelak akan mengetahui ( akibatnya)” [TMQ Al Hijr(15) : 94-96]

Ayat ini menandakan proses perubahan dakwah Rasulullah saw dari tahap pertama ke tahap kedua. Rasulullah saw memasuki tahap kedua melalui wahyu Allah swt. Ini dengan jelas menunjukkan kepada kita bahawa penentuan setiap tahapan dakwah itu bukanlah berbentuk uslub (cara) yang bersifat mubah tetapi ianya adalah hukum perintah yang mesti diikuti. Pada tahap kedua ini, Nabi saw mula secara terbuka mengajak orang-orang Mekah untuk menerima dan menyembah Allah swt semata-mata; agar mereka meninggalkan kehidupan jahiliah dan memeluk Islam. Beliau memilih sejumlah uslub untuk membawa Islam ke arena yang lebih terbuka. Misalnya, beliau pernah mengundang sejumlah kerabat, diantaranya terdapat pemimpin-pemimpin Quraisy untuk menghadiri jamuan makan di rumah beliau. Di dalam majlis itu, Rasulullah saw menyampaikan Islam kepada mereka.

Nabi saw juga telah menampilkan kaum muslim sebagai kelompok tersusun dan bersistem (jama’ah mutakattilah) yang beri’tikad untuk menentang dan mengubah masyarakat dari segi nilai-nilai, adat-tradisinya yang bertentangan dengan ajaran Islam, pemikiran dan perasaannnya, serta sistem pemerintahan dan sistem pengaturan urusan kehidupannya. Perjuangan kolektif itu mampu mencipta pandangan awam tentang dakwah Islam dan hal ini membantu penyebaran Islam ke seluruh Mekah. Orang-orang yang masuk Islam adalah mereka yang mempunyai pemikiran dan hati yang memahami kemurnian, kebijaksanaan dan kebenaran Islam.

Ketika menjalankan tugasnya, Nabi saw, terus menyerang sistem jahiliyyah tanpa melalui jalan kompromi atau penyimpangan. Ketika Quraisy tidak mampu menghentikan dakwah Rasulullah saw dengan pemikiran dan perdebatan, mereka kemudian cuba untuk melakukan kompromi dan tawar menawar. Para pemimpin Quraisy mengirim sejumlah delegasi kepada Nabi saw untuk menawarkan harta, kepimpinan dan kekuasaan. Namun, Nabi saw. menolak segala bentuk kompromi dan terus menyerukan dakwah Islam secara terbuka. Kerana kegagalan tersebutlah menyebabkan pemimpin-pemimpin Quraisy mula melakukan kekerasan untuk menghentikan dakwah Rasulullah saw. Mereka menyeksa dan membunuh kaum muslimin. Mereka juga mengarahkan serangan secara langsung terhadap Nabi saw dengan cara memfitnah, menyebarkan kebohongan dan propaganda untuk menghina beliau, serta usaha untuk membunuh beliau. Namun begitu, usaha-usaha itu juga langsung tidak dapat menghentikan dakwah bahkan kaum muslimin semakin termotivasi. Pada tahap ini, Nabi saw berjuang dengan lebih bersungguh-sungguh.

Ketika Nabi saw menyedari bahawa orang-orang Quraisy tidak akan mendokong penerapan hukum Islam di Mekah, beliau mula mencari dokongan dan kekuasaan dari suku selain Quraisy, misalnya Bani Tsaqif, Kindah, Bani Amir bin Sha’sha’ah, Bani Kalb dan Bani Hanifah. Bukti bahawa Rasulullah saw mencari sokongan dan kekuasaan politik daripada bani-bani tersebut dapat dilihat di dalam catatan sirah merujuk kepada kata-kata suku Amir Sha’sha’ah kepada Rasulullah saw, “ Kami harus menyerahkan leher kami pada pedang orang-orang Arab (membahayakan diri dalam peperangan) demi melindungimu, akan tetapi ketika kemenangan diraih, kekuasaan diberikan kepada kamu?” ( Sirah Nabawiyah Ibnu Hisyam).

Sesungguhnya usaha yang dilakukan oleh Rasulullah saw didalam mencari sokongan dan kekuasaan politik tanpa henti-henti sehingga menempuh kejayaan menunjukkan kepada kita bahawa Rasulullah saw ketika itu menginginkan adanya suatu insitusi yang memiliki kekuatan sebagai pelindung dan penyebar untuk menolong agama ini. Fenomena seperti ini menunjukkan bahawa jalan dakwah Islam bukanlah hanya dengan memanifestasikan kesabaran ketika menghadapi gangguan, malah ia juga dimanifestasikan dengan usaha untuk mewujudkan kekuatan yang boleh melindungi umat Islam. Lebih dari itu, semua peristiwa dan huraian di atas merupakan batu asas yang merupakan tapak kukuh bagi tertubuhnya Daulah Islamiyyah. Daulah Islamiyyah inilah yang kelak akan menerapkan Islam di tengah-tengah masyarakat, mengembangkan risalahnya yang bersifat global kepada umat manusia seluruhnya, serta yang memiliki kekuatan yang mampu melindunginya sekaligus menghapuskan segala rintangan fizikal yang menghalang penyebarannya.

Tahap 3 : Menerapkan dan Mengembang Islam

Akhirnya usaha Rasulullah saw berjaya mendapat dokongan dan kekuasaan untuk menegakkan Islam. Rasulullah saw berjaya menarik perhatian rombongan haji dari Madinah sehinggalah terjadi peristiwa Bai’ah Aqabah ke 2 . Bai’ah Aqabah ke 2 merupakan janji setia diantara wakil-wakil penduduk Madinah dengan Rasulullah saw. Semasa bai’ah ini, mereka berjanji akan melindungi dan memberikan dokongan serta kekuasaan kepada Rasulullah saw.

Setelah meneliti perkembangan dakwah di Madinah, Rasulullah saw akhirnya memerintahkan kaum muslimin berhijrah ke Madinah. Hijrah ke Madinah merupakan momentum perpindahan fasa dakwah dari aktiviti yang bersifat lisan dan penuh kesabaran ke fasa penerapan syariat Islam melalui sebuah institusi negara, yakni Daulah Islamiyyah. Fasa ini menjadikan dakwah Rasulullah saw dilakukan dengan cara yang sangat berbeza iaitu melalui institusi negara. Negara inilah yang memerintah dengan Islam serta menerapkannya secara menyeluruh dan mendakwahkannya dengan hujah dan bukti yang nyata, sekaligus mengembangkannnya dengan kekuatan yang mampu melindungi dakwah dari kekuatan kufur. 

KEJAYAAN RASULULLAH SAW

Menjadikan Rasulullah saw sebagai idola bukanlah hanya sekadar mengambil nilai-nilai murni akhlak baginda. Ianya adalah lebih daripada itu. Tujuan sebenar Rasulullah saw diutus dapat difahami melalui hasil perjuangan dakwahnya - tertegaknya sebuah negara dan Islam diterapkan secara sempurna dan menyeluruh( kaffah). Sebagaimana firman Allah swt:

Hari ini telah aku sempurnakan untuk kamu agama kamu, dan telah aku cukupkan untuk kamu nikmatku, serta aku redha Islam sebagai agama kamu” [TMQ Al Maidah(5) : 3]

Kejayaan yang dicapai oleh Rasulullah saw sebelum kewafatan baginda adalah menerapkan Islam secara kaffah. Pernyataan bahawa kita menjadikan Rasulullah saw sebagai idola sejati membawa pengertian bahawa kita juga mesti mempunyai matlamat untuk berjuang menerapkan Islam secara kaffah. Islam tidak boleh diterapkan sebahagian demi sebahagian kerana apabila kita menerapkan Islam secara sebahagian, bermakna kita akan menerapkan hukum kufur pada sebahagian yang lain sedangkan menerapkan hukum dengan hukum selain Islam adalah bertentangan dengan apa yang telah Allah tetapkan. Tidak wajar juga sekiranya Islam diambil hanya sekadar contoh dan suri teladan semata-mata atau menjadi tempelan kepada sistem kapitalis dengan berwajahkan berbagai nama yang indah-indah – namun hakikatnya risalah Rasulullah ini masih tidak diterapkan. Allah swt berfirman:

“Dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa telah diturunkan oleh Allah swt mereka itu adalah orang-orang yang fasiq” [TMQ Al Maidah (5)]

Wahai kaum muslimin!

Idola kita yang sebenar adalah Nabi Muhammad saw. Baginda tidak ada tolok bandingannya dengan tokoh-tokoh dunia yang lain, artis mahupun bintang sukan. Tidaklah wajar bagi individu muslim menjadikan tokoh-tokoh selain baginda sebagai idola. Para sahabat dan para tab’in telah menjadikan Rasulullah saw sebagai titik rujukan dan idola mereka. Dengan ketaqwaan dan semangat yang mereka ikuti dari idola ini, mereka telah berjaya membawa Islam ke seluruh dunia dan suatu ketika pernah menguasai dua pertiga dunia. Tidak pernah dunia mengecap keadilan, keharmonian dan kerahmatan selain dari waktu ini.

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri tauladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan ( kedatangan) hari kiamat dan ia banyak mengingati Allah” [TMQ Al Ahzab (33) : 21]

Obor perjuangan menegakkan Islam telah dinyalakan, hanya menunggu paluan gendang. Pendayung sudah ditangan mengapa termenung kelu dan membisu. Masa kian suntuk, bukalah minda lihatlah dunia dan kita akan tertanya-tanya…adakah ketenangan dan keharmonian di sekeliling kita ini suatu realiti? Ataukah mungkin hanya fatamorgana? Fikir-fikirkanlah.

Wallahua'lam

Monday, May 2, 2011

bisikan MALAIKAT & bisikan SYAITAN

Rasulullah saw bersabda: “Sesungguhnya syaitan ada baginya bisikan ke hati anak Adam, dan Malaikat juga ada bisikannya; ada pun bisikan syaitan itu ialah galakannya supaya seseorang melakukan kejahatan dan mendustakan kebenaran, dan bisikan Malaikat pula ialah galakannya supaya seseorang mengamalkan kebaikan dan meyakini kebenarannya; oleh itu sesiapa yang terasa bisikan yang baik, maka hendaklah ia mengetahui bahawa perkara itu dari Allah, serta hendaklah ia bersyukur kepada Allah, dan sesiapa yang terasa bisikan yang satu lagi maka hendaklah ia meminta perlindungan Allah dari angkara syaitan.” (Ibn Mas’ud r.a)
Setiap manusia mempunyai lintasan hati yang berlainan kerana berlainan sebabnya. Satu daripada jenis lintasan itu adalah lintasan yang dibawa oleh malaikat yang bertugas memancarkan ke dalam hati manusia perasaan suka berbuat kebajikan dan menerima kebenaran; sementara satu lagi lintasan adalah lintasan syaitan iaitu lintasan untuk melakukan kejahatan dan menolak kebenaran.
Lintasan malaikat ini dinamakan sebagai “ilham” dan lintasan jahat syaitan itu sebenarnya adalah “was-was” di mana kita diperintahkan memohon perlindungan Allah daripadanya sebagaimana yang dimaksudkan di dalam al-Quran (surah An -Nas).
Oleh yang demikian selaku manusia biasa, apabila datang sesuatu lintasan hati, maka hendaklah kita mempertimbangkannya terlebih dahulu dengan neraca syarak; jika bersesuaian kerjakanlah, jika sebaliknya jauhkanlah