=))

Saturday, April 27, 2013

Peranan Dan Tanggungjawab Pemimpin Dalam Islam




Firman Allah swt, Al Anfaal: 27.
"Wahai orang-orang yang beriman! janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah swt dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan keatas kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)."

Marilah kita bertakwa kepada Allah swt di mana sahaja kita berada dengan meningkatkan rasa takut kita kepada-Nya, semoga kita sentiasa dibawah jagaan-Nya.

Ikhwan muslimin, hari ini ramai orang yang ghairah untuk menjadi pemimpin tanpa melihat dan mengukur kelayakan diri sendiri, sedangkan jawatan pemimpin itu satu amanah dan tanggungjawab. Mereka meminta menjadi pemimpin dalam berbagai jawatan dalam sektor awam atau swasta, sehingga  meminta menjadi wakil rakyat dan menteri. Demi untuk memperolehi sesuatu jawatan ada kemungkinan mereka akan melakukan apa saja dan bersedia menghalalkan cara walaupun dengan melakukan jenayah dan perkara-perkara yang ditegah oleh syarak seperti rasuah, mencaci, mengumpat, menipu dan sebagainya.
Memimpin adalah amanah dan tanggungjawab yang akan dipersoalkan di akhirat nanti. Amanah dan tanggungjawab ini tidak akan terlaksana tanpa adanya pemimpin yang berwibawa memeliki ciri-ciri dan sifat-sifat yang tertentu, sesuai dengan tugas dan tanggungjawabnya, mengajak manusia mengabdikan diri sesungguhnya kepada Allah swt, melalui kerja-kerja memakmurkan bumi Allah swt, melakukan islah, menegakkan kebenaran, mengujudkan keamanan, keharmonian dan kesejahteraan dalam masyarakat dan negara.

Berdasarkan amanah dan tanggungjawab seorang pemimpin, maka orang yang lemah dan tidak memiliki kelayakan tidak boleh menjadi pemimpin. Oleh itu melantik seorang pemimpin atau pegawai yang tidak memeliki kelayakan kepada sesuatu jawatan sedangkan masih ada orang yang lebih layak kepada jawatan tersebut, merupakan suatu pengkhianatan besar kepada Allah swt dan Rasulullah saw. Dan sangat bertentangan dengan ajaran syariat Islam kerana akibat dari perbuatan itu, masyarakat dan negara akan musnah dan tergadai serta diangkat keberkatannya.
Sabda Rasulullulah saw; ‘Apabila disandarkan pekerjaan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah kiamat (saat kehancuran)’.

Sabda Rasulullulah saw lagi; ‘Barang siapa melantik seseorang sebagai pemimpin/pegawai di dalam sebuah kumpulannya sedangkan masih ada di kalangan mereka orang yang lebih layak, orang yang lebih disukai Allah swt daripadanya maka sesungguhnya dia telah mengkhianati Allah swt dan Rasul-Nya dan mengkhianati orang-orang yang beriman’.

Demi menjaga kepentingan umat dan negara, demi menjaga pengaruh keduniaan agar tidak meresab masuk ke dalam jiwa pemimpin, Rasulullah saw melarang meminta sesuatu jawatan di dalam pemerintahan, apa lagi merebut tanpa kelayakan dan persedi aan yang mencukupi. Sabda Rasulullulah saw yang bermaksud; ’Kami demi Allah, tidak akan melantik ke jawatan pemerintahan ini, orang yang memohonnya dan juga orang yang sangat-sangat berkeinginan untuk mendapatkannya’.

Sifat loba dan sifat tamak dan menginginkan jawatan akan mendorong seseorang untuk berbuat zalim dan dosa demi untuk mendapatkannya. Apabila sudah dapat berjawatan maka akan dipergunakannya untuk kepentingan-kepentin gan dirinya. Adapun orang yang diberikan jawatan berdasarkan kelayakkan, sedangkan ia tidak mengingin kan jawatan itu, maka Allah swt akan memberikan pertolongan dan taufik kepadanya di dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang pemimpin yang merupakan amanah daripada Allah swt.

Orang yang menginginkan jawatan kerana mengejar pangkat, mencari pengaruh, mengumpul harta kekayaan, kemewahan duniawi semata-mata, sangat terdedah kepada melakukan sebarang penyelewengan, pengkhianatan dan penipuan semasa menjalankan tugas dan tanggungjawabnya. Kepada mereka ini diingatkan bahawa pengkhianatan dan penipuan yang dilakukan oleh seorang pemimpin sangat besar kesan dan akibatnya keatas diri, keluarga, rakyat dan negara. Diatas perbuatannya itu ia akan menanggung kesusahan hidup di dunia dan di akhirat dan dia akan menyesal kerana disiksa oleh Allah swt di dalam Neraka jahanam nanti.
Sabda Rasulullulah saw yang bermaksud; ‘Tiadalah seorang hamba Allah swt yang diberi tugas pemimpin untuk memimpin rakyat kemudian dia mati di hari kematiannya dalam keadaan dia menipu rakyatnya melainkan Allah swt mengharamkannya dari memasuki syurga’. (Hadis Muttafaq’alaih)

Seorang pemimpin hendaklah menjalankan tugas dengan jujur, tidak boleh melarikan diri dari menjalankan tanggungjawabnya. Kalau dia seorang pemimpin rakyat, maka dia harus turun ke medan menemui rakyat dan menyelesaikan permasalahan mereka. Rakyat hendaklah dilayani dengan adil dan saksama.
Sabda Rasulullulah saw yang bermaksud; ’Sesiapa yang diberi Allah swt kuasa untuk menguruskan sesuatu urusan kaum Muslimin, tetapi dia berlindung tidak menunaikan keperluan mereka atau menghiraukan kemiskinan mereka, nescaya Allah swt berlindung Diri tidak melayani hajat dan permintaannya’. (Hadis Sahih)

Ikhwan muslimin, sudah menjadi hak masyarakat untuk dididik dan dibantu oleh pemimpin begitu juga menasihati dan menegur mana-mana pemimpin yang terlanjur dengan cara berkhikmah kerana Islam adalah agama ‘al-nasihah’; nasihah kerana Allah, berpandukan kitabnya dan Rasulnya untuk memimpin kaum Muslimin dan sekalian rakyatnya. Masyarakat dan rakyat hendaklah mentaati pemimpin dalam perkara-perkara kebaikan dan kebajikan dan hendaklah bersedia membantu dalam melaksanakan program-program pembangunan dan kebajikan.

Penyalahgunaan kuasa oleh pemimpin adalah merupakan satu kezaliman yang sangat besar bahayanya, demikian juga menyalahgunaan kekayaan negara dan harta rakyat. Pemimpin atau pegawai yang terlibat dengan mengurus harta kerajaan tidak boleh menggunakan harta kerajaan atau makan harta kerajaan dengan cara yang tidak benar dari segi syariat Islam dan melanggar peraturan. Apapun harta yang di sampaikan kepadanya, hendaklah ia menyerahkan kepada perbendaharaan atau Baitulmal milik kaum muslimin, jangan ada sedikitpun yang dijadikan milik peribadi.
Rasulullulah saw bersabda yang bermaksud; ‘Barang siapa di antara kamu yang kami tugaskan untuk memimpin, lalu dia menyembunyikan harta walaupun sebesar jarum atau lebih kecil dari itu, maka pada hari kiamat nanti dia akan datang membawanya sebagai  seorang pengkhianat’.

Seorang pemimpin hendaklah sentiasa peka dan berwaspada terhadap perbagai manusia yang keluar masuk kepadanya dan yang ada di sekelilingnya, lantaran itu hendaklah ia mengambil penasihat-penasihat dari kalangan orang-orang yang baik-baik, ikhlas lagi dipercayai dari kalangan ulamak dan orang yang bijak pandai.
Rasulullulah saw pernah mengingatkan kita dengan sabdanya, bermaksud; ‘Tidak ada seorang nabi diutuskan Allah dan tidak ada pula seorang pemimpin yang diangkat kecuali mereka mempunyai dua jenis teman rapat; teman rapat yang menyuruhnya dan yang mendorongnya berbuat kebaikan dan selalu mendorongnya untuk berbuat baik sedangkan teman yang satu lagi menyuruhnya membuat kejahatan serta mendorongnya berbuat kejahatan. Orang yang terpelihara sebenarnya ialah orang yang mendapat jagaan dan pemeliharaan daripada Allah swt.’ (Sahih Bukhari)

Jalan yang selamat ialah sentiasa berhati-hati, tidak terburu-buru membuat keputusan atau tindakan tanpa bermesyuarah terlebih dahulu. Seorang pemimpin hendaklah bersikap jujur dan mesra dengan masyarakat atau orang bawahannya serta memberi layanan yang adil kepada semua tanpa memilih kasih.
Pemimpin yang baik ialah pemimpin yang disayangi oleh rakyat atau orang bawahannya. Oleh itu seorang pemimpin hendaklah memupuk kesetiaan masyarakat kepada kepimpinannya dan jangan melakukan sesuatu yang melemahkan kepercayaan mereka dan kesetiaan mereka. Ingatlah sabda Rasulullulah saw; kepada Abu Dzar ra ketika ia meminta dilantik menjadi pegawai Rasulullulah saw, Rasulullulah saw menepuk bahunya serta bersabda; ‘Hai Abu Dzar kamu seorang yang lemah sedangkan jawatan itu adalah satu amanah (tanggungjawab) yang kelak di hari kiamat menjadi hina dan menyesal kecuali orang yang mengambilnya dengan hak dan menunaikan kewajipannya’.





Saturday, April 13, 2013

ALKISAH POSMEN





Oleh Tuan Ibrahim Tuan Man

Alkisah posmen…Ada seorang pakcik tua suka menerima surat. Setiap hari dia akan menunggu kedatangan posmen.

“Terima kasih banyak-banyak. Anta paling hebat di dunia. Tiap-tiap hari ada surat untuk pakcik,” pakcik itu memuji posmen.


“Pakcik, ana ini penghantar surat sahaja,” jawab posmen itu.

“Tidak. Tanpa anta manalah surat ini dapat datang,” jawab pakcik itu kembali.

Pakcik ini menjadi terlalu memuja posmen.

Satu hari, di bulan Ramadhan…

Pakcik menunggu surat, tapi posmen tidak berhenti di depan rumahnya.

Untuk 4 hari berturut-turut, posmen tidak berhenti.

Hari ke 5, pakcik tak tahan, lalu menahan posmen.

“Mengapa anta tak hantar surat pada pakcik?” sergah pakcik itu.

“Sebab tak ada surat untuk pakcik,” jawab posmen itu.

“Mana mungkin tak ada surat. Sebelum ini, tiap-tiap hari anta akan hantar surat pada pakcik,” sergah pakcik itu lagi.

“Ana penghantar surat sahaja pakcik. Kalau tak ada orang hantar surat pada pakcik, ana tak ada apa yang boleh hantar pada pakcik,” jawab posmen dengan penuh sabar.

“Kalau tak ada surat, buatlah surat untuk pakcik! Itu pun tak tahu,” jawab pakcik itu.

Selepas seketika, surat pakcik mula datang kembali.

Satu hari, posmen itu memberitahu pakcik, “Besok ada orang baru ganti ana. Ana dah naik pangkat.”

“Habislah surat pakcik,” keluh pakcik itu.

Posmen tidak berkata apa-apa.

Besok posmen baru mula menghantar surat pada pakcik. Kebimbangan pakcik bahawa suratnya tidak sampai selepas posmen bertukar hilang bila posmen baru mengirimkan surat kepadanya.

“Bagusnya posmen baru ini. Surat masih datang seperti biasa. Tak sangka tukar posmen pun dapat lagi surat seperti biasa,” kata pakcik seperti biasa.

Anak pakcik yang mengirim surat setiap hari ke pakcik. Di bulan Ramadhan, anak pakcik kemalangan masuk hospital, tak sempat kirim surat, tapi juga tak beritahu pakcik kerana bimbang dia risau…

Begitulah kisah di mana pakcik terlalu memuja kebesaran posmen yang menghantar surat kepadanya, sehingga terlupa bahawa surat datang daripada pengirim surat. Posmen ini hanyalah pengirim sahaja. Jika ada surat, posmen akan hantarkan walau bertukar orang.

Begitu juga rezeki kita di bumi Allah. Rezeki kita Allah yang tentukan. Manusia jadi pengirimnya – kadang kala kerajaan jadi pengirimnya. Ada yang terlupa perkara ini sehingga menganggap kerajaanlah yang menentukan rezeki mereka. Walhal kerajaan ini pengirim sahaja. Bertukar kerajaan tidak akan menyekat rezeki yang Allah dah tentukan. Allah akan cari pengirim lain sekiranya rezeki itu dah ditentukan untuk kita.

Dapat cerita ini?

Senyum.





Wednesday, April 10, 2013

~CABANG IMAN~






Maksud sepotong hadis Rasulullah s.a.w,"Keimanan itu 70 cabangnya, yang afdhalnya ialah 'Laa ilaha illallah' dan yang terendahnya ialah menolak (membuang) akan sesuatu yang menyakiti dari tengah jalan dan malu itu cabang dari iman yang terpenting."

1. Beriman dengan Allah s.w.t dan tidak berlaku syirik kepadaNya.
2. Selain Allah s.w.t. semuanya adalah ciptaanNya dan Dialah yang kekal buat selama-lamanya.
3. Beriman dengan Malaikat.
4. Beriman dengan kitab-kitab yang diturunkan Allah.
5. Beriman dengan utusan-utusan Allah.
6. Beriman dengan takdir Allah, sama ada baik dan buruk semuanya dari Allah.
7. Beriman dengan hari qiamat.
8. Beriman dengan adanya syurga.
9. Beriman dengan adanya neraka.
10. Mencintai Allah dengan sebenar-benarnya.
11. Mencintai dan membenci seseorang kerana Allah.
12. Mencintai Baginda Rasulullah s.a.w.
13. Ikhlas.
14. Taubat.
15. Takut kepada Allah.
16. Mengharapkan rahmat Allah.
17. Jangan berputus asa dengan rahmat Allah.
18. Bersyukur.
19. Menepati janji.
20. Bersabar.
21. Tawadhuk.
22. Mengasihi dan bersikap lemah lembut.
23. Redha dengan apa yang ada.
24. Tawakkal.
25. Jangan sombong.
26. Menjauhi kemarahan.
27. Berperasaan malu.
28. Menjauhi iri hati, dengki dan hasad.
29. Menjauhi kekecohan, seperti buruk sangka dan tipu daya.
30. Jangan terlalu mencintai dunia.
31. Mengucap kalimah tayyibah (syahadah)
32. Membaca al-Quran.
33. Mempelajari ilmu agama.
34. Mengajar ilmu.
35. Berdoa dan bermunajat.
36. Mengingati Allah dan beristighfar.
37. Menjauhi kesia-siaan dan perkataan yang melampau batas.
38. Kebersihan, pada badan, pakaian dan tempat tinggal.
39. Melakukan ibadah solat dengan bersungguh-sungguh.
40. Sedekah dan berzakat.
41. Puasa.
42. Haji.
43. Iktikaf.
44. Meninggalkan kampung halaman untuk menegakkan agama /berjihad.
45. Menunaikan nazar dan kifarah.
46. Menjaga amanah.
47. Menutup aurat.
48. Berkorban.
49. Menyempurnakan jenazah.
50. Menjelaskan/membayar hutang.
51. Membaiki muamalah dan mencari harta dengan cara yang baik.
52. Menjadi saksi terhadap perkara yang benar.
53. Wajib wara' dalam makan minum dan menjauhi perkara yang tidak halal.
54. Menjauhi perzinaan.
55. Menunaikan hak anak dan isteri, hamba dan lain-lain.
56. Menunaikan hak kedua ibubapa.
57. Memberi didikan agama kepada anak-anak.
58. Menghormati orang yang lebih tua dan jiran tetangga.
59. Mempereratkan silaturrahim.
60. Memerintah dengan adil.
61. Menyertai jamaah.
62. Mentaati hakim (yang hukumnya tidak bertentangan dengan agama Islam).
63. Membaiki keadaan sesama secara sukarela dan untuk keredhaan Allah semata-mata.
64. Menyuruh melakukan kebaikan dan menegah kemungkaran.
65. Membantu seseorang ke arah kebajikan.
66. Memelihara batasan Allah.
67. Membelanjakan harta di tempat yang diredhai Allah, tidak membazir,boros dan kedekut.
68. Menyelamatkan penduduk dunia dari kerugian dan penderitaan.
69. Bersalam-salaman dan mengucapkan 'Yarhamkumullah' bila orang bersin.
70. Menolak dan membuang benda-benda yang boleh menyakiti orang yang lalu lalang.