=))

Saturday, July 30, 2011

KELEBIHAN RAMADHAN


Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.
1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi-
2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. - Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-
3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. - Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi-
4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).-Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi-
5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. -Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi-
PENERANGAN HADIS
1. Semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah.
2. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan, manakala pintu neraka pula ditutup. Ini menggambarkan bagaimana Allah begitu mengasihani hambaNya yang taat beribadat dan menurut segala perintahNya.
3. Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada pada diri kita iaitu nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai.
4. Pentingnya keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadat.
5. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat.
6. Kita mesti menghidupkan sunnah yang mana yang paling besar ialah berada dalam jemaah Islam terutama di dalam mengembalikan semula khilafah Islamiah yang telah lama dihancurkan iaitu pada 1924.
7. Jauhkan daripada syirik pada Allah sama ada berbentuk perbuatan, niat ataupun percakapan. Kita mesti mematuhi segala perjanjian yang dibuat selagi tidak melanggar hukum syarak.
8. Kita mesti berpuasa pada semua anggota bukannya pada makan dan minum sahaja.
9. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi.
10. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak.
11. Di dalam menunaikan ibadat puasa kita mesti banyak bersabar dan jangan suka berbual kosong apatah meninggikan suara apabila bercakap.

Friday, July 22, 2011

LAMBAIAN RAMADHAN....^_^


Beberapa hari sahaja lagi umat Islam akan menyambut ketibaan bulan Ramadhan al-Mubarak iaitu bulan yang padanya penuh dengan segala keberkatan, limpahan rahmat dan keampunan dari Allah Taala. Jadi tidak hairanlah apabila hampir tibanya bulan Ramadhan ini maka Rasulullah S.A.W. dan para sahabat begitu gembira sekali serta tidak sabar-sabar menanti ketibaannya pada setiap tahun. Mudah-mudahan kita juga bergembira dan terasa rindu yang amat sangat untuk menyambut kehadiran bulan yang mulia ini sepertimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W.
Pada bulan Ramadhan ini jugalah umat Islam diperintahkan untuk berpuasa yang merupakan salah satu dari Rukun Islam yang lima. Maka perintah seperti ini sudah pastilah mempunyai kelebihan dan keistimewaannya yang tertentu untuk diberikan kepada manusia.
Firman Allah Taala bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.
(Surah al-Baqarah: ayat 183).
Berapa ramaikah daripada kalangan kita yang tidak tercapai hasratnya untuk merasai kemanisan dan kelazatan berada di bulan Ramadhan ini kerana telah dijemput menghadap Allah Taala terlebih dahulu? Berapa ramaikah yang masih mengharapkan tarbiah dan kelebihan dari Ramadhan untuk persiapan dirinya ketika mendapat Allah Taala akan tetapi ajalnya datang terlebih dahulu? Hakikatnya ialah kita dipilih oleh Allah Taala sekali lagi untuk mengecapi bulan Ramadhan ini. Oleh sebab itulah maka bersyukurlah di atas kesempatan yang telah diberikan oleh Allah Taala ini untuk melaksanakan segala perintahNya dan rebutlah peluang di bulan Ramadhan ini dengan sebaiknya. Semoga artikel ringkas yang saya sediakan ini dapat menjadi peringatan supaya kita tidak mensia-siakan peluang yang diberikan oleh Allah Taala pada Ramadhan kali ini. InsyaAllah.
ANTARA KEISTEMEWAAN DAN KELEBIHAN RAMADHAN
Pintu Syurga Dibuka Dan Pintu Neraka Ditutup.
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Apabila datangnya Ramadhan maka dibukakan pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan dirantaikan syaitan-syaitan.
(Riwayat Bukhari dan Muslim).
Hanya Orang Yang Berpuasa Dapat Memasuki Pintu Syurga ar-Rayyan.
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Sesungguhnya di dalam syurga ada satu pintu yang dinamakan ar-Rayyan. Orang-orang yang berpuasa sahaja memasukinya manakala orang-orang lain selain mereka tidak dibenarkan.
(Riwayat Bukhari dan Muslim).
Orang Berpuasa Bergembira Ketika Bertemu Allah Taala dan Berbuka.
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Bagi orang yang berpuasa itu merasai dua kegembiraan iaitu apabila berbuka puasa dia gembira dengan berbuka puasanya dan apabila dia bertemu dengan Tuhannya dia gembira dengan ibadat puasanya.
(Riwayat Bukhari dan Muslim).
Bau Mulut Orang Yang Berpuasa Lebih Wangi Dari Kasturi.
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Demi Allah yang Muhammad berada di dalam genggamannya bahawasanya bau mulut orang-orang yang berpuasa itu lebih harum baunya di sisi Allah daripada bauan kasturi.
(Riwayat Bukhari dan Muslim).
Diturunkan al-Quran al-Karim.
Firman Allah Taala bermaksud:
Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan perbezaan (menjelaskan di antara yang benar dan yang salah).
(Surah al-Baqarah: ayat 185).
Amalan Puasa Dinisbahkan Khusus Kepada Allah Taala.
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Allah Taala berfirman: Setiap amalan anak Adam adalah untuknya melainkan puasa. Ia adalah untukKu dan Akulah yang akan membalasnya.
(Riwayat Bukhari dan Muslim).
Malam Lailatul Qadar.
Firman Allah Taala bermaksud:
Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan (Lailatul Qadar). Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar.
(Surah al-Qadr: ayat 1 hingga 5).
ANTARA PERISTIWA PADA BULAN RAMADHAN (BULAN KEMENANGAN)
Peperangan Badar al-Kubra.
Pererangan ini berlaku pada 17 Ramadhan tahun kedua Hijrah.
Pembukaan Makkah.
Berlaku pada 21 Ramadhan tahun kelapan Hijrah.
Peperangan al-Qadisiyah.
Berlaku pada tahun 14 Hijrah.
Pembukaan Andalusia.
Berlaku pada tahun 92 Hijrah.
Peperangan Hittin.
Berlaku pada tahun 583 Hijrah.
Kekalahan Tentera Tartar.
Berlaku pada 25 Ramadhan tahun 658 Hijrah.
Kekalahan Israel.
Berlaku pada 10 Ramadhan tahun 1393 Hijrah.
KEKUATAN RAMADHAN MENGHADAPI SYAITAN
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Apabila datangnya Ramadhan maka dibukakan pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan dirantaikan syaitan-syaitan.
(Riwayat Bukhari dan Muslim).
Syaitan merupakan musuh tradisi kepada anak Adam. Permusuhan ini bermula sejak dari penciptaan Nabi Adam A.S. sehinggalah ke hari qiamat. Janganlah sesekali anak Adam tunduk mengabdikan diri kepada tuntutan syaitan yang akan terus-menerus menyesatkan manusia.
Firman Allah Taala bermaksud:
Bukankah Aku telah memerintahkan kepadamu hai anak Adam supaya kamu tidak menyembah syaitan? Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu. Dan hendaklah kamu menyembahKu inilah jalan yang lurus.
(Surah Yasin: ayat 60 dan 61).
Firman Allah Taala bermaksud:
Syaitan menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan sedangjan Allah menjanjikan untukmu keampunan daripadaNya dan kurnia. Dan Allah Maha Luas lagi Maha Mengetahui.
(Surah al-Baqarah: ayat 268).
Di antara peranan syaitan ke atas anak Adam ialah:
01. Berusaha mengkufurkan orang mukmin.
02. Bersifat gopoh.
03. Mengikut hawa nafsu.
04. Hasad dengki.
05. Takabbur.
06. Menghapuskan rasa takut dan ingatan manusia kepada Allah Taala.
Firman Allah Taala bermaksud:
Syaitan telah menguasai mereka lalu menjadikan mereka lupa mengingati Allah mereka itulah golongan syaitan. Ketahuilah bahawa sesungguhnya golongan syaitan itulah golongan yang merugikan.
(Surah al-Mujaadilah: ayat 19).
Di kesempatan Ramadhan kali sama-samalah kita menjauhi segala apa yang telah dilarang oleh Allah Taala dan mentaati segala apa yang diperintahkan olehNya. Semoga segala sifat-sifat dan ajakan syaitan tidak dapat menumbusi diri kita kerana syaitan telahpun dirantai sepanjang Ramadhan. Janganlah pula hawa nasfu diri turut menguasi diri tatkala mana syaitan tiada di sisi.
BEBERAPA PERINGATAN DAN NASIHAT SEPANJANG RAMADHAN
01. Hendaklah menjaga mata daripada memandang perkara-perkara yang dicela oleh agama yang mana akan melalaikan hati serta jauh dari mengingati Allah Taala.
02. Hendaklah memelihara lidah dari berbohong, bercakap dusta, bermusuh-musuhan dan membangga-bangga diri.
03. Hendaklah menjaga telinga dari mendengar perkara-perkara yang tidak baik dan haram kerana Allah Taala menyamakan mendengar perkara yang haram itu seperti memakan yang haram.
04. Menghindarkan anggota badan yang lain dari berbuat dosa dan perkara-perkara yang dilarang.
05. Jangan makan terlalu banyak ketika berbuka sampai penuh perutnya.
06. Hendaklah hati kita itu merasa goncang antara harap dan cemas setelah selesai berbuka sebab kita tidak tahu apakah puasa kita itu diterima oleh Allah atau ditolak.
PENUTUP
Mungkin setakat ini dahulu artikel ringkas saya pada kali ini. InsyaAllah saya akan menulis artikel sambungan lagi jika mempunyai kesempatan iaitu untuk memberikan penjelasan mengenai amalan dan ibadat di dalam sepanjang bulan Ramadhan ini. Apa yang ingin diingatkan di sini janganlah kita mensia-siakan peluang yang diberikan oleh Allah Taala kepada kita pada kali ini. Sama-samalah kita bermuhasabah diri dan memperbanyakkan amalan.

Sunday, July 17, 2011

kalimah "Laa ilaaha illallah"


Petikan daripada bab mengenai angin lembut daripada buku ARMAGEDON 2012 yag mencabut roh orang beriman, ada dijelaskan bahawa dunia tidak akan kiamat selagi masih ada orang yang beriman, iaitu masih ada orang yang berakidah “Laa ilaaha illallah.” Ini amanah (agama) yang dahulu pernah dikemukakan kepada langit , bumi, dan gunung-ganang. Tetapi mereka berasa mereka tidak mampu memikulnya. Akhirnya, amanah (agama) itu diberikan kepada manusia. Jadi selama masih ada manusia yang berpegang teguh pada amanah itu, maka seluruh langit dan bumi akan tetap tunduk dan berkhidmat kepada manusia, dan dunia tidak akan kiamat.

Berdasarkan hakikat ini, maka dapat difahami sebenarya, orang bukan islam dapat hidup di dunia ini berkat kewujudan orang islam. Berkat ibadat mereka, maka dunia tidak akan kiamat. Berkat amalan orang beriman, maka orang bukan islam masih dapat menghirup udara, meminum air dan menikmati keindahan dunia. Jadi, umat islam dengan kalimah “la ilaaha illallah” ini adalah penjaga dunia tempat seluruh umat manusia berlindung.

      Rasulallah berkata, “orang mukmin itu mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai dan tidak dicintai. Dan sebaik-baik manusia adalah yang paling banyak memberi manfaat kepada manusia.”
                                                                     (hadith direkod oleh Daruquthni)

Manusia yang terbaik adalah manusia yang paling banyak memberi manfaat kepada orang lain. Apabila perkara ini dikaji secara mendalam, maka manusia yang terbaik adalah manusia yang berpegang teguh kepada hukum-hakam Allah adalah manusia yang paling takut (bertakwa) kepada Allah, iaitu orang yang beriman (mukmin).

Ini bermakna orang beriman adalah orang yang paling baik. Ini kerana dia paling banyak memberi manfaat kepada orang lain. Dengan iman yang dimiliki, didunia tidak akan kiamat, sehingga seluruh manusia, termasuk orang bukan islam pun mendapat manfaat yang begitu besar.

Sunday, May 29, 2011

Tanda-Tanda Saat Kematian....


  
Adapun tanda-tanda kematian mengikut ulamak adalah benar dan ujud cuma amalan dan ketakwaan kita sahaja yang akan dapat membezakan kepekaan kita kepada tanda-tanda ini.
Rasulallah SAW diriwayatkan masih mampu memperlihat dan menceritakan kepada keluarga dan sahabat secara lansung akan kesukaran menghadapi sakaratulmaut dari awal hinggalah akhirnya hayat Baginda.
Imam Ghazali rahimahullah diriwayatkan memperolehi tanda-tanda ini sehinggakan beliau mampu menyediakan dirinya untuk menghadapi sakaratulmaut secara sendirian. Beliau menyediakan dirinya dengan segala persiapan termasuk mandinya, wuduknya serta kafannya sekali cuma ketika sampai bahagian tubuh dan kepala sahaja beliau telah memanggil abangnya iaitu Imam Ahmad Ibnu Hambal untuk menyambung tugas tersebut. Beliau wafat ketika Imam Ahmad bersedia untuk mengkafankan bahagian mukanya.
Adapun riwayat -riwayat ini memperlihatkan kepada kita sesungguhnya Allah SWT tidak pernah berlaku zalim kepada hambanya. Tanda-tanda yang diberikan adalah untuk menjadikan kita umat Islam supaya dapat bertaubat dan bersedia dalam perjalanan menghadap Allah SWT. Walaubagaimanapun semua tanda-tanda ini akan berlaku kepada orang-orang Islam sahaja manakala orang-orang kafir iaitu orang yang menyekutukan Allah nyawa mereka ini akan terus di rentap tanpa sebarang peringatan sesuai dengan kekufuran mereka kepada Allah SWT.

Adapun tanda-tanda ini terbahagi kepada beberapa keadaan :

Tanda 100 hari sebelum hari mati.

Ini adalah tanda pertama dari Allah SWT kepada hambanya dan hanya akan disedari oleh mereka-mereka yang dikehendakinya. Walaubagaimanapun semua orang Islam akan mendapat tanda ini cuma samada mereka sedar atau tidak sahaja.
Tanda ini akan berlaku lazimnya selepas waktu Asar. Seluruh tubuh iaitu dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki akan mengalami getaran atau seakan-akan mengigil. Contohnya seperti daging lembu yang baru disembelih dimana jika diperhatikan dengan teliti kita akan mendapati daging tersebut seakan-akan bergetar.
Tanda ini rasanya lazat dan bagi mereka sedar dan berdetik di hati bahawa mungkin ini adalah tanda mati maka getaran ini akan berhenti dan hilang setelah kita sedar akan kehadiran tanda ini. Bagi mereka yang tidak diberi kesedaran atau mereka yang hanyut dengan kenikmatan tanpa memikirkan soal kematian , tanda ini akan lenyap begitu sahaja tanpa sebarang munafaat. Bagi yang sedar dengan kehadiran tanda ini maka ini adalah peluang terbaik untuk memunafaatkan masa yang ada untuk mempersiapkan diri dengan amalan dan urusan yang akan dibawa atau ditinggalkan sesudah mati.

Tanda 40 hari sebelum hari mati

Tanda ini juga akan berlaku sesudah waktu Asar. Bahagian pusat kita akan berdenyut-denyut.Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita akan gugur dari pokok yang letaknya di atas Arash Allah SWT.Maka malaikatmaut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat persediaannya ke atas kita antaranya ialah ia akan mula mengikuti kita sepanjang masa.
Akan terjadi malaikatmaut ini akan memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan jika ini terjadi, mereka yang terpilih ini akan merasakan seakan-akan bingung seketika.Adapun malaikatmaut ini wujudnya cuma seorang tetapi kuasanya untuk mencabut nyawa adalah bersamaan dengan jumlah nyawa yang akan dicabutnya.

Tanda 7 hari

Adapun tanda ini akan diberikan hanya kepada mereka yang diuji dengan musibah kesakitan di mana orang sakit yang tidak makan secara tiba-tiba ianya berselera untuk makan.

Tanda 3 hari

Pada ketika ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi kita iaitu diantara dahi kanan dan kiri.Jika tanda ini dapat dikesan maka berpuasalah kita selepas itu supaya perut kita tidak mengandungi banyak najis dan ini akan memudahkan urusan orang yang akan memandikan kita nanti.
Ketika ini juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi dan bagi orang yang sakit hidungnya akan perlahan-lahan jatuh dan ini dapat dikesan jika kita melihatnya dari bahagian sisi.
Telinganya akan layu dimana bahagian hujungnya akan beransur-ansur masuk ke dalam.Telapak kakinya yang terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar ditegakkan.

Tanda 1 hari

Akan berlaku sesudah waktu Asar di mana kita akan merasakan satu denyutan di sebelah belakang iaitu di kawasan ubun-ubun di mana ini menandakan kita tidak akan sempat untuk menemui waktu Asar keesokan harinya.

Tanda akhir

Akan berlaku keadaan di mana kita akan merasakan satu keadaan sejuk di bahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya akan naik ke bahagian halkum. Ketika ini hendaklah kita terus mengucap kalimah syahadah dan berdiam diri dan menantikan kedatangan malaikatmaut untuk menjemput kita kembali kepada Allah SWT yang telah menghidupkan kita dan sekarang akan mematikan pula.


******Bila Malaikat Mencabut Nyawa******

Baginda Rasullullah S.A.W bersabda:
"Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai kelutut. Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar. Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar. Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu."

Sambung Rasullullah S.A.W. lagi:
"Kalau orang yang nazak itu orang yang beriman, maka malaikat Jibrail A.S. akan menebarkan sayapnya yang disebelah kanan sehingga orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di syurga. Apabila orang yang beriman itu melihat syurga, maka dia akan lupa kepada orang yang berada disekelilinginya. Ini adalah kerana sangat rindunya pada syurga dan melihat terus pandangannya kepada sayap Jibrail A.S."

Kalau orang yang nazak itu orang munafik, maka Jibrail A.S. akan menebarkan sayap disebelah kiri. Maka orang yang nazak tu dapat melihat kedudukannya di neraka dan dalam masa itu orang itu tidak lagi melihat orang disekelilinginya. Ini adalah kerana terlalu takutnya apabila melihat neraka yang akan menjadi tempat tinggalnya.

Dari sebuah hadis bahawa apabila Allah S.W.T. menghendaki seorang mukmin itu dicabut nyawanya maka datanglah malaikat maut.Apabila malaikat maut hendak mencabut roh orang mukmin itu dari arah mulut maka keluarlah zikir dari mulut orang mukmin itu dengan berkata:

"Tidak ada jalan bagimu mencabut roh orang ini melalui jalan ini kerana orang ini sentiasa menjadikan lidahnya berzikir kepada Allah S.W.T." Setelah malaikat maut mendengar penjelasan itu, maka dia pun kembali kepada Allah S.W.T. dan menjelaskan apa yang diucapkan oleh lidah orang mukmin itu. Lalu
Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:

"Wahai malaikat maut, kamu cabutlah ruhnya dari arah lain." Sebaik saja malaikat maut mendapat perintah Allah S.W.T. maka malaikat maut pun cuba mencabut roh orang mukmin dari arah tangan. Tapi keluarlah sedekah dari arah tangan orang mukmin itu, keluarlah usapan kepala anak-anak yatim dan keluar penulisan ilmu. Maka berkata tangan: Tidak ada jalan bagimu untuk mencabut roh orang mukmin dari arah ini, tangan ini telah mengeluarkan sedekah, tangan ini mengusap kepala anak-anak yatim dan tangan ini menulis ilmu pengetahuan."

Oleh kerana malaikat maut gagal untuk mencabut roh orang mukmin dari arah tangan maka malaikat maut cuba pula dari arah kaki. Malangnya malaikat maut juga gagal melakukan sebab kaki berkata:

"Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana kaki ini sentiasa berjalan berulang alik mengerjakan solat dengan berjemaah dan kaki ini juga berjalan menghadiri majlis-majlis ilmu."

Apabila gagal malaikat maut, mencabut roh orang mukmin dari arah kaki, maka malaikat maut cuba pula dari arah telinga. Sebaik saja malaikat maut menghampiri telinga maka telinga pun berkata:

"Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana telinga ini sentiasa mendengar bacaan Al-Quran dan zikir." Akhir sekali malaikat maut cuba mencabut orang mukmin dari arah mata tetapi baru saja hendak menghampiri mata maka berkata mata:

"Tidak ada jalan bagimu dari arah ini sebab mata ini sentiasa melihat beberapa mushaf dan kitab-kitab dan mata ini sentiasa menangis kerana takutkan Allah." Setelah gagal maka malaikat maut kembali kepada Allah S.W.T. Kemudian Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: "Wahai malaikatKu, tulis AsmaKu ditelapak tanganmu dan tunjukkan kepada roh orang yang beriman itu." Sebaik saja mendapat perintah Allah S.W.T. maka malaikat maut menghampiri roh orang itu dan menunjukkan Asma Allah S.W.T.

Sebaik saja melihat Asma Allah dan cintanya kepada Allah S.W.T maka keluarlah roh tersebut dari arah mulut dengan tenang.

Abu Bakar R.A. telah ditanya tentang kemana roh pergi setelah ia keluar dari jasad. Maka berkata Abu Bakar R.A:"Roh itu menuju ketujuh tempat:-

1. Roh para Nabi dan utusan menuju ke Syurga Adnin.
2. Roh para ulama menuju ke Syurga Firdaus.
3. Roh mereka yang berbahagia menuju ke Syurga Illiyyina.
4. Roh para shuhada berterbangan seperti burung di syurga mengikut kehendak mereka.
5. Roh para mukmin yang berdosa akan tergantung di udara tidak di bumi dan tidak di langit sampai hari kiamat.
6. Roh anak-anak orang yang beriman akan berada di gunung dari minyak misik.
7. Roh orang-orang kafir akan berada dalam neraka Sijjin, mereka diseksa berserta jasadnya sampai hari Kiamat."

Telah bersabda Rasullullah S.A.W: Tiga kelompok manusia yang akan dijabat tangannya oleh para malaikat pada hari mereka keluar dari kuburnya:-

1. Orang-orang yang mati syahid.
2. Orang-orang yang mengerjakan solat malam dalam bulan ramadhan.
3. Orang berpuasa di hari Arafah.

PENUTUP
Sesungguhnya marilah kita bertaqwa dan berdoa kepada Allah SWT semoga kita adalah di antara orang-orang yang yang dipilih oleh Allah yang akan diberi kesedaran untuk peka terhadap tanda-tanda mati ini semoga kita dapat membuat persiapan terakhir dalam usaha memohon keampunan samada dari Allah SWT mahupun dari manusia sendiri dari segala dosa dan urusan hutang piutang kita.Walaubagaimanapun sesuai dengan sifat Allah SWT yang maha berkuasa lagi pemurah lagi maha mengasihani maka diriwatkan bahawa tarikh mati seseorang manusia itu masih boleh diubah dengan amalan doa iaitu samada doa dari kita sendiri ataupun doa dari orang lain. Namun ianya adalah ketentuan Allah SWT semata-mata.
Oleh itu marilah kita bersama-sama berusaha dan berdoa semuga kita diberi hidayah dan petunjuk oleh Allah SWT serta kelapangan masa dan kesihatan tubuh badan dan juga fikiran dalam usaha kita untuk mencari keredhaan Allah SWT samada di dunia mahupun akhirat.
Apa yang baik dan benar itu datangnya dari Allah SWT dan apa yang salah dan silap itu adalah dari kelemahan manusia itu sendiri.
WALLAHUA`LAM

Sunday, May 15, 2011

MEGUBAH CIPTAAN ALLAH TANDA TIDAK MENSYUKURI NIKMAT


Islam melarang keras sebarang pengubahan ciptaan asal bahagian tubuh seseorang yang dilakukan dengan alasan untuk kelihatan cantik atau lebih cantik selain bertujuan kosmetik.

Bagaimanapun, jika ia dilakukan dengan tujuan perubatan akibat kemalangan dan kecacatan, hukumnya menjadi harus.

Jelasnya, tujuan yang dibenarkan adalah bagi memperbaiki organ tubuh yang rosak akibat trauma kemalangan selain untuk mengembalikan kecacatan kepada kejadian tubuh manusia normal.

Dalil yang mengharamkan pembedahan plastik untuk tujuan selain kesihatan berdasarkan ayat 117 hingga 119 surah an-Nisa’ iaitu Allah berfirman yang bermaksud:

“Apa yang mereka sembah selain daripada Allah itu tidak lain hanya berhala dan mereka tidak menyembah melainkan syaitan yang derhaka, yang dilaknat Allah dan yang mengatakan: Demi sesungguhnya aku akan mengambil daripada kalangan hamba-Mu, bahagian tertentu (untuk menjadi pengikutku).

“Dan demi sesungguhnya aku akan menyesatkan mereka (daripada kebenaran) dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang ternak) lalu mereka membelah telinga binatang itu dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah.”

Ulama tafsir memiliki tiga pendapat mengenai takrifan ‘mengubah fitrah kejadian dan apa jua yang sudah ditetapkan Allah’ iaitu mengubah bentuk tubuh dan organ haiwan serta manusia; mengubah tugas atau fungsi sesuatu seperti menjadikan batu atau matahari sebagai Tuhan dan mengubah syariat Islam iaitu menghalalkan yang diharamkan Allah serta sebaliknya.

Terdapat juga hadis yang menyebut: “Rasulullah s.a.w melaknat perempuan yang membuat tatu dan minta dibuat tatu dan yang mengikir gigi dan yang minta dikikir giginya.” (Riwayat Thabarani)

Tatu iaitu memberikan tanda pada muka dan kedua-dua tangan dengan warna biru dalam bentuk ukiran. Sebahagian orang Arab, khususnya golongan wanita membuat tatu di sebahagian besar tubuh badan mereka.

Bahkan pada masa pengikut agama membuat tatu dalam bentuk persembahan dan lambang agama mereka, misalnya orang Kristian melukis salib di tangan dan dada mereka.

Perbuatan yang buruk menjadi semakin besar pengharamannya apabila ia dilakukan dengan menyeksa dan menyakiti badan iaitu dengan menusuk-nusukkan jarum pada badan orang yang dibuat tatu itu.

Semua ini menyebabkan laknat, baik terhadap yang membuat tatu atau orang yang minta dibuat tatu. Cantik biarlah selari dengan kehendak Allah dan cantik hakiki bermula dengan kecantikan dalaman (inner beauty).