=))

Thursday, December 22, 2011

hubungan sejenis ==> langgar fitrah


Hubungan sejenis semakin berleluasa, ini menyebabkan ada lelaki yang berkahwin dengan wanita atas pilihan keluarga namun mereka tidak menyulam perasaan cinta terhadap isteri. Ini disebabkan mereka lebih ‘berselera’ dengan kaum sejenis.
Malah, lebih teruk, ada lelaki bernafsu songsang ini yang beristeri dan mempunyai anak.
Melihat laporan akhbar mengenai gejala homoseksual (liwat), ia sememangnya amat membimbangkan. Golongan gay ini semakin berani dan tidak segan melakukan ‘mukadimah’ seks terlarang termasuk bercumbu di kawasan terbuka.
Malah, mereka mempunyai kelab gay yang menghimpunkan golongan yang dahagakan seks songsang untuk bertemu dan melempiaskan keinginan itu.
Homoseksual lebih kepada orientasi seksual yang berkait rapat dengan emosi yang mereka ‘cipta’ sendiri bagi menterjemahkan kebebasan serta kenikmatan yang tersasar dari agama.
Memang Allah s.w.t menjadikan makhluk berpasangan, tetapi antara lelaki dan wanita. Allah tidak membenarkan hubungan terlarang sesama jenis.
Sejarah mencatatkan perbuatan homoseksual ada berlaku. Dalam al-Quran ada menceritakan kisah umat Nabi Luth a.s yang melakukan hubungan songsang.
Manakala kaum perempuan juga mengamalkan perkara sama dan hanya berminat terhadap wanita atau lesbian.
Lebih menyedihkan, isteri Baginda sendiri tidak mengendahkan peringatannya lalu Allah menurunkan hujan batu dan batu dari tanah liat yang panas berapi serta gempa bumi dengan kekuatan bunyi yang menggegar pada waktu matahari terbit.
Melihat azab yang Allah turunkan kepada umat Nabi Luth, apakah manusia akhir zaman tidak gerun untuk melakukan perbuatan terkutuk itu? Allah berfirman yang bermaksud: “Kepada orang-orang lelaki, tidak kepada perempuan-perempuan. Memang kamu semua kaum yang melampaui batas.” (Surah al-Aaraf ayat 81) “Dan kami turunkan hujan (hujan batu) kepada mereka. maka perhatikanlah akibatnya orang-orang melampaui batas.” (Surah al-Aaraf ayat 84) “Lalu suara guruh (bunyi bumi yang gempa) menimpa mereka ketika matahari terbit.” (Surah al-Hijr ayat 73). Selain daripada azab yang menimpa kaum Nabi Luth, mirip kepada kejadian sama turut menimpa Kota Pompeii (kini satu kawasan di Itali). Kota Pompeii adalah sebuah kota terkemuka dalam Empayar Rom pada satu ketika dahulu.
Lebih 1900 tahun lalu, Pompeii adalah sebuah kota purba yang maju sehingga satu kejadian dahsyat melanda menyebabkan keseluruhan bangunan serta penduduknya tertanam lebih 18 meter di dalam lava gunung berapi berkenaan. Masyarakat Pompeii dikatakan tidak menyedari langsung letusan kuat itu berlaku yang dapat dinilai daripada raut wajah artifak yang menggambarkan mereka dalam suasana terkejut, ketakutan yang amat sangat. Kemusnahan Kota Pompeii dari muka bumi ini sudah tentu bukan terjadi dengan sengaja. Masyarakat Pompeii di katakan mengamalkan kepercayaan Mithra yang mana meyakini bahawa persetubuhan tidak sepatutnya dilakukan secara berselindung, tetapi terbuka. Nauzubillah! Sehingga pada 1594, ketika kerja menggali terowong di kaki gunung berapi Vesuvius dijalankan mereka dikejutkan dengan penemuan artifak berupa tembikar dan puluhan tubuh manusia yang sudah membatu dalam keadaan sungguh menggerunkan. Tinggalan artifak misteri berkenaan akhirnya terjawab apabila masyarakat Pompeii dipercayai menjadikan kota itu sebagai pusat utama aktiviti pelacuran dan seks bebas. Malah, alat kelamin lelaki juga digantung di pintu utama pusat pelacuran terbabit. Sungguh mengejutkan apabila mendapati banyak sekali artifak manusia yang terawet berada dalam posisi sedang melakukan persetubuhan termasuk liwat. Demikian sebahagian peringatan yang mahu manusia kembali kepada kepada fitrah asal dan tidak terus hanyut menyimpang. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Sebab itu, setelah datang keputusan Kami lalu Kami jadikan yang di atasnya jatuh ke bawah dan kami turunkan ke atas mereka hujan batu dari tanah yang terbakar dengan berturut-turut.” (Surah Hud ayat 82).
Peringatan Allah itu mengingatkan seluruh manusia agar mengambil pengajaran dalam setiap yang berlaku dan kembali bertaubat agar tidak mengulangi kesilapan lalu. Malang sekali manusia tidak pernah mengambil iktibar daripadanya. Yang pasti, jika terdapat hanya segelintir golongan yang melakukan kemaksiatan maka bala akan menimpa ke atas semua tanpa mengira mereka melakukan dosa atau sebaliknya. Bagi pengamal seks songsang sebegini memang tiada penawar bagi mereka jika dijangkiti penyakit kelamin seperti kemaluan, dubur bernanah dan Aids yang akhirnya akan memusnahkan seluruh kehidupan mereka kelak. Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim), Zamihan Mat Zain, berkata gejala homoseksual adalah virus yang memerlukan golongan berkenaan menjalani pakej kaunseling lengkap. “Golongan gay yang berhasrat untuk berubah hendaklah meninggalkan terus perbuatan terkutuk itu dan bertaubat kepada Allah s.w.t.
“Mereka perlu mendapatkan khidmat nasihat pakar seperti psikologi dan kesihatan dalam usaha kepada pemulihan diri yang lebih sempurna. “Namun, perkara ini berbalik semula kepada kekuatan diri sendiri menangkis perasaan serta tindak tanduk yang boleh membawa kepada perilaku yang keji dan kotor ini,” katanya.
Zamihan berkata, virus gejala gay itu amat buruk kesannya sehingga menyebabkan pengamalnya berasa ketagih dan semakin jauh dari keredaan Allah.
“Jika mereka tidak melawan perasaan itu akibatnya kita bukan saja mendapat kemurkaan Allah s.w.t, malah di kutuk oleh seluruh makhluk serta kehidupan di dunia ini.
“Terbukti segala bencana yang diturunkan ke atas manusia sebelum ini adalah berpunca daripada kepincangan yang dilakukan manusia sendiri. Mereka secara terangan melanggar peraturan dan hak yang dihadkan dalam sesuatu perkara,” katanya. Beliau berkata malapetaka akan menimpa ke atas manusia pada bila-bila masa jika manusia masih enggan meninggalkan perkara serta perbuatan mungkar. “Amat malang jika seseorang yang mengamalkan aktiviti songsang ini sudah mempunyai isteri dan anak kerana dosa yang tertanggung adalah berlipat kali ganda.
“Mereka layak adalah penjenayah besar dalam Islam kerana tidak menunaikan tanggungjawab sebenar terhadap keluarga,” katanya. Justeru, pintu taubat masih terbuka seluas-luasnya buat manusia selagi mereka tidak mensyirikkan Allah.
Namun taubat mesti dilakukan dengan sebenar-benarnya dengan harapan tidak mengulangi perbuatan silam. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan mereka tidak menyembah sesuatu yang lain selain Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan kecuali di atas jalan yang hak dan tidak pula berzina; barang siapa melakukan perkara yang ditegah akan mendapat balasan dosanya. Akan digandakan baginya azab seksa di hari kiamat dan kekal di dalam azab dengan penuh kehinaan. Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik maka Allah menggantikan kejahatan mereka dengan kebaikan. Allah itu Tuhan pengampun lagi mengasihani.” (Surah al-Furqan ayat 68 hingga 70).

Monday, December 5, 2011

MUHARRAM


Antara amalan disunatkan pada bulan Muharam:

1. Puasa. Maksud Hadis: Barang siapa berpuasa satu hari dalam bulan Muharam pahalanya seumpama berpuasa 30 tahun. Maksud Hadis: Barang siapa yang berpuasa tiga hari dalam bulan Muharam, iaitu hari Khamis, Jumaat dan Sabtu, Allah tulis padanya pahala seperti mana beribadat selama 2 tahun.
2. Banyakkan amal ibadat seperti solat sunat, zikir dan sebagainya.
3. Berdoa akhir tahun pada hari terakhir bulan Zulhijah selepas Asar sebanyak 3 kali
4. Berdoa awal tahun pada 1 Muharram selepas Maghrib 3 kali 
Perkara sunat dilakukan pada hari Asyura (10 Muharram) serta fadhilatnya:
1. Melapangkan masa/belanja anak isteri. Fadilatnya - Allah akan melapangkan hidupnya pada tahun ini.
2. Memuliakan fakir miskin. Fadilatnya - Allah akan melapangkannya dalam kubur nanti.
3. Bersabar/Menahan marah. Fadilatnya - Di akhirat nanti Allah akan memasukkannya ke dalam golongan yang redha.
4. Menunjukkan orang sesat. Fadilatnya - Allah akan memenuhkan cahaya iman dalam hatinya.
5. Menyapu/mengusap kepala anak yatim. Fadilatnya - Allah akan mengurniakan sepohon pokok di syurga bagi tiap-tiap rambut yang disapunya.
6. Bersedekah. Fadilatnya - Allah akan menjauhkannya pada neraka jauh seekor gagak terbang tak berhenti-henti . Diberi pahala seperti bersedekah kepada semua fakir miskin di dunia ini.
7. Memelihara kehormatan diri. Fadilatnya - Allah akan mengurniakan hidupnya sentiasa diterangi cahaya keimanan.
8. Mandi Sunat. Fadilatnya - Tidak sakit (sakit berat) pada tahun itu. Lafaz niat: "Sahaja aku mandi sunat hari Asyura kerana Allah Taala."
9. Membaca Qulhuwallah hingga akhir 1,000 kali. Fadilatnya - Allah akan memandanginya dengan pandangan rahmah di akhirat nanti.
10. Sembahyang sunat empat rakaat. Fadilatnya - Allah akan mengampunkan dosanya walau telah berlarutan selama 50 tahun melakukannya. Lafaz niat: "Sahaja aku sembahyang sunat hari Asyura empat rakaat kerana Allah Taala." Pada rakaat pertama dan kedua selepas Fatihah dibaca Qulhuwallah 11 kali.
11.Menjamu orang berbuka puasa. Fadhilat - Diberi pahala seperti memberi sekalian orang Islam berbuka puasa.
12. Puasa. Niat - "Sahaja aku berpuasa esok hari sunat hari Asyura kerana Allah Taala." Fadilat - Diberi pahala seribu kali Haji, seribu kali umrah dan seribu kali syahid dan diharamkannya pada neraka.


Bertanya para sahabat : "Wahai Rasulullah ! Apakah kelebihan 10 Muharram berbanding dengan hari-hari yang lain ?" Sabdanya : 
·                     ALLAH menciptakan langit, bintang dan sebagainya pada 10 Muharram
·                     ALLAH menciptakan gunung-ganang pada 10 Muharram
·                     Diciptakan lautan pada 10 Muharram
·                     Diciptakan Qalam (pena untuk menulis amal manusia) pada 10 Muharram
·                     Diciptakan papan tulis (Luh Mahfuz) pada 10 Muharram
·                     Diciptakan Adam a.s. pada 10 Muharram
·                     Dimasukkan Adam a.s. ke dalam syurga pada 10 Muharram
·                     Dilahirkan Ibrahim a.s. pada 10 Muharram
·                     Diselamatkan Ibrahim a.s. dari api Namrud pada 10 Muharram
·                     Diselamatkan anaknya Ismail a.s. dari sembelihan pada 10 Muharram
·                     Ditenggelamkan Fir'aun pada 10 Muharram
·                     Diampunkan dosa Daud a.s. pada 10 Muharram
·                     Dilahirkan Isa a.s. pada 10 Muharram
·                     Dikeluarkan Idris a.s. daripada perut ikan Nun pada 10 Muharram
·                     Disembuhkan penyakit Ayub a.s. pada 10 Muharram
·                     Diangkat Isa a.s. ke langit pada 10 Muharram
·                     Diterima taubat Adam a.s. pada 10 Muharram
·                     Dianugerahkan tahta kerajaan kepada Sulaiman a.s. pada 10 Muharram
·                     Diciptakan Arasy pada 10 Muharram
·                     Awal-awal hujan yang turun dari langit pada 10 Muharram
·                     Awal-awal rahmat diturunkan pada 10 Muharram
·                     Diselamatkan bahtera Nuh a.s. daripada tenggelam pada 10 Muharram

Saturday, December 3, 2011

KHASIAT SURAH AL-MULK


Surah Al Mulk adalah surah keamanan dan keselamatan, kerana ia menyelamatkan pembaca-pembacanya dari siksa kubur. Sejarah telah membuktikan seperti yang berlaku di zaman Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam. Ibnu Abbas menceritakan:
“Pernah suatu ketika setengah para sahabat berkhemah di atas kubur. Mereka sebenarnya tidak menyangka tempat itu adalah kubur. Setelah beberapa ketika berada di dalam khemah, mereka tiba-tiba terdengar suara orang membaca Surah Al Mulk dari mula hinggalah akhirnya. Suara itu datangnya dari dalam tanah. Tahulah mereka, sebenarnya mereka sedang berkhemah di atas kubur. Kemudian hal itu diadukan kepada Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam lalu baginda bersabda yang bermaksud: “Surah Al Mulk adalah surah pelepasan kerana ia menghindar pembacanya dari azab neraka.”
Meskipun begitu, Surah Al Mulk juga mempunyai kelebihan-kelebihan yang lain. Di sini penulis bentangkan sebahagian daripadanya sahaja. Diantaranya:
1. Abu Hurairah meriwayatkan hadis, katanya yang bermaksud: “Sesungguhnya di dalam Al-Quran itu, ada satu surah yang mengandungi 30 ayat, ia mensyafaat bagi lelaki yang membacanya. Maka selagi mana lelaki itu membacanya, selagi itu pula ia meminta ampun unutuknya. Surah itu ialah surah Al Mulk.”
2. Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: “Surah Al Mulk itu memelihara dan menghindarkan pembacanya dari azab kubur.”
3. Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: “Aku sungguh gembira, sekiranya orang mukmin sentiasa membaca surah Al Mulk sehingga seolah-olah surah itu tertulis di dalam hatinya.”
4. Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa membaca surah Al Mulk setiap malam, diselamatkannya dari azab kubur.”
5. Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: “Sesiapa membaca surah Al Mulk pada mana-mana malam, nescaya datang ke dalam kuburnya surah itu sebagai pengganti untuk bersoal jawab dengan Munkar Nakir.
6. Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya di dalam Al-Quran ada satu surah yang terkandung 30 ayat. Surah itu ialah surah Al Mulk. Ia akan datang kepada pembacanya untuk membantu bersoal jawab dalam kubur sehinggalah mereka selamat masuk ke dalam Syurga.”
7. Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: “Sebahagian surah-surah yang terdapat di dalam Al-Quran ada satu surah yang mengandungi 30 ayat. Surah itu surah Al Mulk. Ia memberi syafaat kepada orang yang membacanya dengan mengeluarkannya dari Neraka dan memasukkannya ke dalam Syurga.”
8. Ulama berkata: “Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam tidak akan beradu melainkan setelah membaca surah As Sajadah dan surah Al Mulk.”
9. Ulama berkata: “Sesungguhnya surah Al Mulk itu melepaskan pengamal-pengamalnya dari kena azab. Ia akan bersoal jawab pada hari kiamat di hadapan tuhan kerana menuntut kelepasan mereka yang mengamalkannya dari azab api Neraka.”
10. Saiyidina ‘Ali berkata: “Barangsiapa mengamalkan surah Al Mulk, nescaya dibawa ia pada hari kiamat di atas sayap malaikat serta wajahnya yang cantik seperti nabi Yusuf.”
11. Ulama berkata: “Sesungguhnya surah Yasin dan surah Al Mulk terkandung di dalamnya beberapa rahsia dan kelebihan. Barangsiapa mengamalkannya nescaya ia mendapat rahsia-rahsia dan kelebihan-kelebihan itu serta dikasihi oleh semua manusia dan juga menjadi hebat pada pandangan makhluk.”
12. Saiyidina ‘Abdullah bin Abbas berkata: “Barangsiapa membaca surah Al Mulk sehingga menjadi amalan wiridnya, nescaya ia mendapat bantuan dan pertolongan dari Allah Subhanahu wa Ta’ala di dalam kuburnya. Bila azab hendak datang ke pihak kepala, terdengar satu seruan: “Tidak boleh engkau datang ke pihak kepala ini kerana ada surah Al Mulk.”
Begitulah keadaanya bila azab itu pergi ke pihak kaki dan perutnya. Kerana semuanya mengandungi surah Al Mulk.”
Semoga kita semua ambil manfaat daripadanya. Amin.