=))

Sunday, May 15, 2011

MEGUBAH CIPTAAN ALLAH TANDA TIDAK MENSYUKURI NIKMAT


Islam melarang keras sebarang pengubahan ciptaan asal bahagian tubuh seseorang yang dilakukan dengan alasan untuk kelihatan cantik atau lebih cantik selain bertujuan kosmetik.

Bagaimanapun, jika ia dilakukan dengan tujuan perubatan akibat kemalangan dan kecacatan, hukumnya menjadi harus.

Jelasnya, tujuan yang dibenarkan adalah bagi memperbaiki organ tubuh yang rosak akibat trauma kemalangan selain untuk mengembalikan kecacatan kepada kejadian tubuh manusia normal.

Dalil yang mengharamkan pembedahan plastik untuk tujuan selain kesihatan berdasarkan ayat 117 hingga 119 surah an-Nisa’ iaitu Allah berfirman yang bermaksud:

“Apa yang mereka sembah selain daripada Allah itu tidak lain hanya berhala dan mereka tidak menyembah melainkan syaitan yang derhaka, yang dilaknat Allah dan yang mengatakan: Demi sesungguhnya aku akan mengambil daripada kalangan hamba-Mu, bahagian tertentu (untuk menjadi pengikutku).

“Dan demi sesungguhnya aku akan menyesatkan mereka (daripada kebenaran) dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang ternak) lalu mereka membelah telinga binatang itu dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah.”

Ulama tafsir memiliki tiga pendapat mengenai takrifan ‘mengubah fitrah kejadian dan apa jua yang sudah ditetapkan Allah’ iaitu mengubah bentuk tubuh dan organ haiwan serta manusia; mengubah tugas atau fungsi sesuatu seperti menjadikan batu atau matahari sebagai Tuhan dan mengubah syariat Islam iaitu menghalalkan yang diharamkan Allah serta sebaliknya.

Terdapat juga hadis yang menyebut: “Rasulullah s.a.w melaknat perempuan yang membuat tatu dan minta dibuat tatu dan yang mengikir gigi dan yang minta dikikir giginya.” (Riwayat Thabarani)

Tatu iaitu memberikan tanda pada muka dan kedua-dua tangan dengan warna biru dalam bentuk ukiran. Sebahagian orang Arab, khususnya golongan wanita membuat tatu di sebahagian besar tubuh badan mereka.

Bahkan pada masa pengikut agama membuat tatu dalam bentuk persembahan dan lambang agama mereka, misalnya orang Kristian melukis salib di tangan dan dada mereka.

Perbuatan yang buruk menjadi semakin besar pengharamannya apabila ia dilakukan dengan menyeksa dan menyakiti badan iaitu dengan menusuk-nusukkan jarum pada badan orang yang dibuat tatu itu.

Semua ini menyebabkan laknat, baik terhadap yang membuat tatu atau orang yang minta dibuat tatu. Cantik biarlah selari dengan kehendak Allah dan cantik hakiki bermula dengan kecantikan dalaman (inner beauty).

No comments:

Post a Comment