hadis rasulullah!
“Sebaik baik sahabat di sisi Allah ialah orang yang terbaik
terhadap temannya dan sebaik baik jiran di sisi Allah ialah orang yang terbaik
terhadap jirannya.” (Hadis riwayat al-Hakim)
Dari Nu’man bin Basyir r.a., Rasulullah SAW bersabda,
“Perumpamaan persaudaraan kaum muslimin dalam cinta dan kasih sayang di antara
mereka adalah seumpama satu tubuh. Apabila satu anggota tubuh sakit
makamengakibatkan seluruh tubuh menjadi demam dan tidak bisa tidur.” (Hadis
riwayat Muslim)
“Seorang Muslim adalah saudara muslim lainnya, ia tidak
menzaliminya, merendahkannya, menyerahkan (kepada musuh) dan tidak
menghinakannya.” (Hadis riwayat Muslim)
“Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat
wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu
agama, melihat gerak-gerinya teringat mati.” Banyak sekali hadis-hadis tentang
kawan/sahabat ini. Ada pula pepatah Melayu mengatakan, “Berkawan biar seribu,
berkasih biar satu.” Saya lebih selesa dengan berkawan biar berpada jumlahnya,
lihat kualiti, bukan kuantiti. Dan berkasih jangan cuma satu saja, kalau mampu,
biar ramai. Kasihkan Allah, Rasul-Nya, pasangan (suami/isteri), anak-anak,
keluarga, kaum kerabat, jiran dan juga kawan atau sahabat. Baru betul! Tak
gitu? Allah SWT mencipta makhluk di atas muka bumi ini berpasang-pasangan.
Begitu juga manusia, tidak akan hidup bersendirian. Kita tidak boleh lari dari
berkawan dan menjadi kawan kepada seseorang. Jika ada manusia yang tidak suka
berkawan atau melarang orang lain daripada berkawan, dia dianggap ganjil dan
tidak memenuhi ciri-ciri sebagai seorang manusia yang normal. Inilah antara
hikmah, kenapa Allah SWT mencipta manusia daripada berbagai bangsa, warna kulit
dan bahasa. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Hai manusia, sesungguhnya Kami
menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan
kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal (dan
beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya orang yang paling mulia di
antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu.
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (surah al-Hujurat [049]
ayat 13)
Dalam Islam, faktor memilih kawan amat dititik-beratkan.
Hubungan persahabatan adalah hubungan yang sangat mulia, kerana kawan atau
sahabat berperanan dalam membentuk personaliti individu. Ada kawan yang sanggup
bersusah-payah dan berkongsi duka bersama kita, dan tidak kurang juga kawan
yang nampak muka semasa senang dan hanya sanggup berkongsi kegembiraan sahaja.
Terdapat ayat yang mengisyaratkan mengenai peranan dan
pengaruh kawan, antaranya firman-Nya yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman!
Bertakwalah dan hendaklah kamu bersama-sama orang yang bersifat benar.” (Surah
at-Taubah, ayat 119)
Pendek kata sahabat boleh menentukan corak hidup kita.
Justeru, jika salah pilih sahabat kita akan merana dan menerima padahnya.
Selari dengan hadis Rasululah SAW yang bermaksud, “Seseorang itu adalah
mengikut agama temannya, oleh itu hendaklah seseorang itu meneliti siapa yang
menjadi temannya.”(Hadis riwayat Abu Daud).
Hadis al-Bukhari dari Abu Musa al-Asy’ari, bermaksud:
“Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan)
dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan
mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau
harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda
terbakar, atau mendapat bau busuk.”
Apakah ciri-ciri seorang sahabat yang baik? Nasihat yang
boleh diikuti dalam membina persahabatan ialah sebagaimana pesanan al-Qamah
(seorang sahabat Rasulullah SAW) kepada anaknya, “Wahai anakku, sekiranya
engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau
memilih orang yang sifatnya seperti berikut.”
1 – Pilihlah sahabat yang suka melindungi sahabatnya, dia
adalah hiasan diri kita dan jika kita dalam kekurangan nafkah, dia suka
mencukupi keperluan.
2 – Pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau
menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, dia suka
menerima dengan rasa terharu, jikalau ia melihat kebaikan yang ada pada dirimu,
dia suka menghitung-hitungkan (menyebutnya).
3 – Pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau
menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, ia suka menerima
dengan rasa terharu dan dianggap sangat berguna, dan jika ia mengetahui
mengenai keburukkan dirimu ia suka menutupinya.
4 – Pilihlah sahabat yang jikalau engkau meminta sesuatu
daripadanya, pasti ia memberi, jikalau engkau diam, dia mula menyapamu dulu dan
jika ada sesuatu kesukaran dan kesedihan yang menimpa dirimu, dia suka membantu
dan meringankanmu serta menghiburkanmu.
5 – Pilihlah sahabat yang jikalau engkau berkata, ia suka
membenarkan ucapan dan bukan selalu mempercayainya saja. Jikalau engkau
mengemukakan sesuatu persoalan yang berat dia suka mengusahakannya dan jika
engkau berselisih dengannya, dia suka mengalah untuk kepentinganmu.
Dalam memilih sahabat kita hendaklah memilih sahabat yang
baik agar segala matlamat dan hasrat untuk memperjuangkan Islam dapat
dilaksanakan bersama-sama sahabat yang mulia.
Sebagai remaja yang terlepas daripada pandangan ayah ibu
berhati-hatilah jika memilih kawan. Kerana kawan, kita bahagia tetapi kawan
juga boleh menjahanamkan kita. Setelah kita dewasa, kita juga perlu
berhati-hati memilih kawan kerana kita tidak mahu kawan-kawan yang melalaikan
kita terhadap Maha Pencipta. Kawan yang baik membantu kita ke arah pencapaian
matlamat, iaitu kebahagiaan di dunia dan juga di akhirat. Kawan yang tidak baik
hanya membantutkan usaha kita ke arah itu.
Dalam kitab al-Hikam ada menyebut, “Jangan berkawan dengan
seseorang yang tidak membangkitkan semangat taat kepada Allah, amal kelakuannya
dan tidak memimpin engkau ke jalan Allah.”
Dalam satu hadis yang bermaksud, “Seseorang akan mengikuti
pendirian (kelakuan) temannya, kerana itu tiap orang harus memilih siapakah
yang harus didekati sebagai kawan (teman).”
Sufyan Astsaury berkata, “Siapa yang bergaul dengan orang
banyak harus mengikuti mereka, dan siapa mengikuti mereka harus bermuka-muka
pada mereka, dan siapa yang bermuka-muka kepada mereka, maka binasalah seperti
mereka pula.”
Hati-hatilah atau tinggalkan sahaja sahabat seperti di
bawah:
1. Sahabat yang tamak: ia sangat tamak, ia hanya memberi
sedikit dan meminta yang banyak, dan ia hanya mementingkan diri sendiri.
2. Sahabat yang hipokrit: ia menyatakan bersahabat
berkenaan dengan hal-hal lampau, atau hal-hal mendatang; ia berusaha
mendapatkan simpati dengan kata-kata kosong; dan jika ada kesempatan membantu,
ia menyatakan tidak sanggup.
3. Sahabat pengampu: Dia setuju dengan semua yang kamu
lakukan tidak kira betul atau salah, yang parahnya dia setuju dengan hal yang
tidak berani untuk menjelaskan kebenaran, di hadapanmu ia memuji dirimu, dan di
belakangmu ia merendahkan dirimu.
4. Sahabat pemboros dan suka hiburan: ia menjadi kawanmu
jika engkau suka pesta, suka berkeliaran dan ‘melepak’ pada waktu yang tidak
sepatutnya, suka ke tempat-tempat hiburan dan pertunjukan.
Ali bin Abi Thalib r.a. berkata, “Sejahat-jahat teman ialah
yang memaksa engkau bermuka-muka dan memaksa engkau meminta maaf atau selalu
mencari alasan.”
Kemungkinan engkau berbuat kekeliruan (dosa), maka
ditampakkan kepadamu segala kebaikan, oleh kerana persahabatanmu kepada orang
yang jauh lebih rendah akhlak (iman) daripadamu.
Sebaik-baik sahabat
Dan sekiranya engkau berkawan seorang bodoh yang tidak menurutkan
hawa nafsunya, lebih baik daripada berkawan dengan orang alim yang selalu
menurutkan hawa nafsunya. Maka ilmu apakah yang dapat digelarkan bagi seorang
alim yang selalu menurutkan hawa nafsunya itu, sebaliknya kebodohan apakah yang
dapat disebutkan bagi seorang yang sudah dapat mengekang (menahan) hawa
nafsunya.
Bagaimana akan dinamakan bodoh, seorang yang telah dapat
menahan dan mengekang hawa nafsunya, sehingga membuktikan bahawa semua amal
perbuatannya hanya semata-mata untuk keredhaan Allah SWT dan bersih dari
dorongan hawa nafsu. Sebaliknya, apakah erti suatu ilmu yang tidak dapat
menahan atau memimpin hawa nafsu dari sifat kebinatangan dan kejahatannya.
Dalam sebuah hadis ada keterangan : “Seorang itu akan
mengikuti pendirian sahabat karibnya, kerana itu hendaknya seseorang itu
memperhatikan, siapakah yang harus dijadikan kawan.”
Menurut ahli syair pula : “Sesiapa bergaul dengan
orang-orang yang baik, akan hidup mulia. Dan yang bergaul dengan orang-orang
rendah akhlaknya, pasti tidak mulia.”
Bersahabat dengan yang lebih rendah budi dan imannya sangat
berbahaya, sebab persahabatan itu saling pengaruh-mempengaruhi,
percaya-mempercayai sehingga dengan demikian sukar sekali untuk dapat melihat
datu memperbaiki kesalahan sahabat yang kita sayangi, bahkan kesetiaan sahabat
akan membela kita dalam kesalahan dosa kekeliruan itu, yang dengan itu kita
pasti akan binasa kerananya. Hati-hatilah memilih kawan, kerana kawan boleh
menjadi cermin peribadi seseorang. Apa pun berkawanlah kerana Allah SWT untuk
mencari redha-Nya.
Renung-renungkan!
No comments:
Post a Comment