=))

Tuesday, January 11, 2011

~~KAYA @ MISKIN~~


Kekayaan, kemiskinan sekadar permainan dunia menjelang hari akhirat
HATI siapa takkan tertarik melihat kemilau dunia berada di depan mata. Tangan pasti segera mengambil harta benda yang boleh mendatangkan kenikmatan. Perhiasan pula dipakai untuk menunjukkan darjat yang tinggi dan gelaran orang kaya akan jadi sebutan orang ramai. Indahnya dunia bagi si kaya.
Al-Qarni pernah menulis mengenai perbezaan antara si kaya dan miskin dengan menyatakan:
Orang kaya yang pendiam dipuji manusia sebagai orang yang warak dan tawaduk sedangkan orang miskin yang pendiam dikata bodoh dan lembap. Orang kaya yang banyak bercakap digelar cerdik dan pintar, manakala orang miskin yang banyak cakap dikata sebagai kuat berangan, cakap tak serupa bikin. Orang kaya yang banyak memberi digelar sebagai dermawan, orang miskin yang memberi pula dikata tak sedar diri hendak menunjuk-nunjuk. Orang kaya yang bercakap lembut dan mesra dipuji sebagai berjiwa rakyat. Orang miskin yang mesra pergaulannya disangka suka mengambil kesempatan ke atas orang lain.”
Jelas, kemenangan sentiasa berada di pihak si kaya.
Allah sudah menggariskan takdir setiap manusia ketika dia masih dalam perut ibunya. Hakikatnya, kaya dan miskin akan menguji tahap keimanan seseorang. Tidak semestinya yang kaya kurang iman dan yang miskin pula kuat imannya ataupun sebaliknya.
Mungkin dulu saat tidak ada duit banyak kita sering gelisah dan marah dengan takdir Allah, apabila duit banyak pula, lupa daratan dan tidak tahu bersyukur. Boleh jadi juga, ketika susah dekat dengan Tuhan tetapi apabila hidup senang tidak sempat pula menikmati ibadat sebab terlalu sibuk.
Semua itu adalah pilihan masing-masing. Allah berhak menguji iman hamba-Nya dengan kekayaan atau kemiskinan.
Begitulah hakikat kehidupan, manusia digesa untuk berusaha ke arah mempertingkatkan taraf hidupnya. Supaya dunia digenggam dalam tangan dan ditadbir menurut iman dalam hati yang sentiasa meletakkan akhirat bertakhta di sanubari.
Rasulullah SAW bersabda ketika Baginda menziarahi kubur kaum muslimin bersama sahabatnya yang mafhumnya:
Wahai Abu Muwaihibah, sesungguhnya aku sudah ditawarkan dunia berserta seluruh isinya, lalu aku disuruh memilih antara dunia atau berjumpa dengan Allah dan masuk ke syurga-Nya.” Abu Muwaihibah berkata: “Wahai Rasulullah ambillah dunia ini dulu kemudian baru engkau meminta syurga.” Baginda bersabda: “Tidak, wahai Abu Muwaihibah, aku memilih berjumpa dengan Allah dan masuk ke syurga-Nya.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)
Nyata betapa murahnya harga dunia ini berbanding dengan kenikmatan syurga Allah. Maka tidak hairan jika orang kaya yang beriman tidak sayang kepada hartanya ketika dia berbelanja di jalan Allah.
Begitu pula si miskin yang kaya hati, tidak berubah imannya ketika susah ataupun senang. Dia tetap berkorban di jalan-Nya. Kaya dan miskin hanya sekadar status yang tidak merisaukan sedikitpun bagi mereka yang beriman. Begitu juga ketika mereka dibangkitkan nanti pada hari pembalasan.
Seperti sabda Baginda SAW yang bermaksud:
Pada hari kiamat kelak, akan dihadapkan seseorang yang paling kaya di dunia sedangkan dia adalah calon ahli neraka. Maka dicelupkan orang itu ke dalam api neraka sebentar kemudian dikeluarkan dan disoal: “Wahai anak Adam, pernahkah kamu (ketika di dunia dulu) merasakan kesenangan dan kebahagiaan selama hidupmu? Ia menjawab: Tidak, wahai Tuhanku! Kemudian didatangkan seseorang yang sangat menderita hidupnya di dunia sedangkan dia adalah calon ahli syurga. Kemudian ditanya kepadanya: Wahai anak Adam, pernahkah kamu rasakan penderitaan dan kemalangan selama hidupmu? Ia menjawab: Tidak, wahai Tuhanku, aku tidak pernah menderita sama sekali.” (Hadis riwayat Muslim)
Nikmat akhirat sudah menghapus ingatan si miskin mengenai penderitaan di dunia, sedangkan si kaya pula terlupa bahawa dia pernah berada di puncak kenikmatan dunia saat merasai azab Tuhan di akhirat.
Bagaimana pula dengan ingatan kita, adakah ia akan hilang seketika, kuasa apakah yang begitu hebat menghapus memori dunia daripada akal fikiran kita? Betapa dahsyat dan ngerinya peristiwa hari kebangkitan. Tetapi begitu mudah pula manusia melupakannya.
Peristiwa hari pembalasan terlalu segar dalam ingatan para sahabat Baginda SAW sesegar ingatan kita mengenai jumlah harta yang tersimpan hasil jerih payah sendiri. Mereka melihat akhirat dengan begitu terang seolah-olah menyaksikannya dengan imbasan gambaran yang hidup.
Sedangkan hati mereka mengingati firman Allah yang bermaksud:
Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-bangga banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanamannya mengagumkan petani. Kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning, kemudian menjadi hancur dan di akhirat nanti ada azab yang keras dan ampunan daripada Allah serta keredaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanya kesenangan yang menipu.” (Surah al-Hadid ayat 20).
Mereka yang miskin berbondong-bondong mencari keredaan Allah dengan sedaya-upaya mereka. Bahkan pernah ayat al-Quran turun disebabkan tangisan mereka yang tidak dapat bersedekah kerana tidak memiliki apa-apa. Sedangkan di kalangan sahabat yang kaya berlumba-lumba mengeluarkan bantuan untuk kemenangan Islam.
Pernah suatu ketika, penghulu orang miskin mengadu kepada Baginda Rasulullah SAW:
Wahai Rasulullah, orang kaya sudah memborong semua pahala dan tingkat yang tertinggi serta kesenangan yang abadi. Rasulullah SAW bertanya: Mengapa demikian? Mereka berkata: Mereka solat seperti kami, berpuasa seperti kami dan mereka bersedekah sedangkan kami tidak dapat bersedekah, mereka memerdekakan hamba sedangkan kami tidak mampu. Rasulullah SAW bersabda: Sukakah kamu aku ajarkan kepada kamu amal perbuatan yang dapat mengejar mereka, dan tidak ada seorang yang lebih utama daripada kamu melainkan yang berbuat seperti perbuatanmu? Mereka menjawab: Baiklah, wahai Rasulullah. Rasulullah SAW bersabda: Bertasbih, bertakbir dan bertahmid selepas sembahyang 33 kali. Kemudian mereka kembali lagi dan berkata: Wahai Rasulullah, saudara kami orang kaya mendengar perbuatan kami, maka mereka melakukannya juga. Rasulullah bersabda: Itulah kurniaan Allah yang diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis itu menegaskan betapa beruntungnya menjadi orang kaya yang beriman berbanding si miskin yang jauh ketinggalan dalam berbuat kebajikan. Namun tidak dinafikan ujian harta amat berat berbanding ujian kesusahan, kerana harta ramai orang terpedaya dan menggadai iman.
Memang sepatutnya si kaya layak mendapatkan kelebihan dibandingkan yang miskin jika mereka beriman kerana harta itu bagaikan rantai besi di lehernya yang mengikat dengan keras dan terkadang menyakitkan.
Kaya dan miskin semua itu kurniaan Allah, yang menyelamatkan hanya amal salih dan hati yang suci seraya tunduk kepada-Nya.
Jika si miskin berangan-angan betapa indahnya hidup menjadi orang kaya, sesungguhnya si kaya juga tidak pernah puas dengan apa yang dimiliki dan berangan alangkah mudahnya jika hidup miskin, tidak perlu fikir banyak dan cari hal yang susah-susah. Bukankah dunia ini sememangnya sekadar mainan?
INTI PATI
- Allah sudah menggariskan takdir setiap manusia ketika dia masih dalam perut ibunya. Hakikatnya, kaya dan miskin akan menguji tahap keimanan seseorang. Tidak semestinya yang kaya kurang iman dan yang miskin pula kuat iman atau sebaliknya.
- Allah berhak menguji iman hamba-Nya dengan kekayaan atau kemiskinan.
- Manusia digesa untuk berusaha ke arah mempertingkatkan taraf hidupnya. Supaya dunia digenggam dalam tangan dan ditadbir menurut iman dalam hati yang sentiasa meletakkan akhirat bertakhta di sanubari.
- Nyata betapa murahnya harga dunia ini berbanding dengan kenikmatan syurga Allah. Maka tidak hairan jika orang kaya yang beriman tidak sayang kepada hartanya ketika dia berbelanja di jalan Allah.
- Kaya dan miskin adalah kurniaan Allah, yang menyelamatkan hanya amal salih dan hati yang suci seraya tunduk kepada-Nya.
- Jika golongan miskin berangan-angan betapa indahnya hidup menjadi orang kaya, sesungguhnya si kaya juga tidak pernah puas dengan apa yang dimiliki dan berangan alangkah mudahnya jika hidup miskin, tidak perlu fikir banyak dan cari hal yang susah-susah. Dunia ini sememangnya sekadar mainan.

No comments:

Post a Comment