=))

Saturday, January 29, 2011

sistem FARAID.....



1. Islam Mengambil Berat Mengenai Dengan Ilmu Pusaka.

Ilmu Pusaka adalah salah satu dari cabang Ilmu Fiqh yang sangat diambil berat oleh Islam dan dipandang sangat tinggi nilainya.Oleh itu Islam disamping menyuruh umatnya mempertingkatkan sistem pusaka Islam dengan betul, dan memberi amaran keras kepada sesiapa yang cuba meringan-ringankan atau meninggalkan sistem Ilahi ini, ia menyuruh kita mempelajari dan mengajarnya. Antara dalil-dalilnya ialah seperti Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu majah dan darul Qutni di bawah ini:-

“Daripada Abi Hurairah r.a berkata, Sabda Rasulallah saw : Hendaklah kamu mempelajari Ilmu Faraid dan ajarkanlah akannya, kerana ia adalah setengah ilmu, ia adalah dilupakan dan ia adalah sesuatu yang mula dicabutkan dari umatku”.

Dan sabda baginda saw lagi:-

“Daripada Abdullah Bin Amru, bahawa Rasulallah saw telah bersabda: Ilmu itu ada tiga jenis, dan yang lainnya adalah satu kelebihan, iaitu Ayat Quran yang bersifat hukum (Muhkamah) atau Sunnah(hadis) yang sahih atau Faridhah(pembahagian Pusaka) yang adil.” (Riwayat Abu Daud).

2. Pusaka Mengikut Syarak

Ialah suatu hak yang boleh dibahagikan dan sabit kepada yang berhak setelah yang berhak dahulu itu mati, kerana ada hubungan kerabat, suami isteri atau wala’ atau perjanjian.

(* Maksud hak ialah semua jenis-jenis hak yang merangkumi harta benda dan lainnya seperti hak qisas dan shafaat.)

3. Rukun-rukun Pusaka

Sepertimana ilmu-ilmu yang lain, Pusaka juga mempunyai rukun-rukunnya bagi memastikan pusaka dapat ditentukan dengan sah mengikut hukumnya. Di bawah ini dijelaskan rukun-rukunnya iaitu:-

i. Pewaris ( Si mati)

ii. Waris ( ahli waris yang berhak )

iii. Yang diwaris ( harta atau sebagainya)

4. Sebab-sebab Pusaka

Selain daripada rukun, sistem pusaka dalam Islam melihat juga kepada beberapa sebab yang menjadikan seseorang itu berhak menerima harta pusaka keluarganya yang telah meninggal dahulu itu. Dengan sebab-sebab inilah seseorang waris itu boleh mendapat pusaka iaitu:-

i. Pernikahan

ii. Kerabat

iii. Wala’ (pembebasan hamba)


Ayat An-Nisaa’:12 ini adalah sebagai dalil menunjukkan salah satu sebab perwarisan ialah melalui perkahwinan. Maknanya:

“Dan bagimu (suami-isteri) seperdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isterimu, jika mereka tidak mempunyai anak. Jika isteri-isterimu itu mempunyai anak, maka kamu mendapat seperempat dari harta yang ditinggalkannya sesudah dipenuhi wasiat yang mereka buat atau (dan) sesudah dibayar hutangnya para isteri memperoleh seperempat harta yang kamu tingalkan jika kamu tidak mempunyai anak. Jika kamu mempunyai anak, maka para isteri memperoleh seperdelapan dari harta yang kamu tinggalkan sesudah dipenuhi wasiat yang kamu buat atau (dan) sesudah dibayar hutang-hutangmu. Jika seseorang mati, baik lelaki mahupun perempuan yang tidak meninggalkan ayah dan tidak meninggalkan anak, tetapi mempunyai seorang saudara lelaki (seibu saja) atau seorang saudara perempuan (seibu saja), maka bagi masing-masing dari kedua jenis saudara itu seperenam harta. Tetapi jika saudara saudara seibu itu lebih dari seorang, maka mereka bersekutu dalam yang sepertiga itu, sesudah dipenuhi wasiat yang dibuat olehnya atau sesudah dibayar hutangnya dengan tidak memberi mudharat (kepada ahli waris). (Allah menetapkan yang demikian itu sebagai) syari’at yang benar-benar dari Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Penyantun.”

5. Syarat-syarat Pusaka

Selain daripada rukun dan sebab, sistem pusaka islam juga telah menentukan syarat-syarat bagaimana seharusnya pusaka itu dibahagikan iaitu:-

i. Pewaris mati dahulu

ii. Waris hidup semasa kematian pewaris

iii. Tidak ada perkara yang boleh menegah waris drp menerima pusaka iaitu:-

a. Perhambaan

b. Membunuh

c. Berlainan agama

6. Apa dia peninggalan si mati (At-Tarikah)

Menurut Mazhab Shafie harta peninggalan si mati ialah segala apa yang menjadi kepunyaan si mati di masa hidupnya kemudian ditinggalkan untuk waris-warisnya sama ada berupa harta benda, hak kepunyaan, begitu juga apa yang termasuk di dalam miliknya yang dikerjakan semasa hidup tetapi diperolehi setelah ia mati. Di dalam Nihayah al-muhtaj disebut:

“Peninggalan si mati ialah apa-apa yang ditinggalkan untuk orang kemudian daripadanya dari suatu hak seperti jenayah, tuduhan berzina, atau ikhtisas, atau mal seperti arak yang telah menjadi cuka setelah matinya, diyat yang diambil dari pembunuhnya, kerana diyat itu termasuk ke dalam miliknya, begitu juga apa yang termasuk ke dalam pukatnya yang telah dipasang di masa hidupnya.” Sabda Rasullulah s.a.w. yang maksudnya: “Sesiapa yang telah meninggalkan harta atau sesuatu hak maka untuk waris-warisnya dan sesiapa yang meninggalkan bebanan (hutang) atau anak (yang tidak ada sesiapa yang menanggung) maka ia untuk saya (saya yang menanggung).”

7. Mempusakai kegunaan dan perkara-perkara harus

i. Dalam Mazhab Shafie:

Kegunaan si mati semasa hidupnya seperti sewaan atau pinjaman atau wakaf yang dimiliki oleh pewaris itu diambil alih oleh waris-warisnya. Dalam Syarh al-Mahalli:

“Sewaan tidak terfasakh dengan mati salah seorang dari yang berakad bahkan berkekalan sehingga habis tempohnya dan waris bagi pihak yang menyewa adalah menggantikannya di dalam menyempurnakan kegunaan itu.”

ii. Perkara-perkara tidak harus diwarisi

Seumpama seseorang mempunyai rumah membenarkan seseorang lain untuk menjadi tetamu di dalamnya, kemudian tetamu itu mati, maka pengharusan yang diperolehi ini tidaklah diwarisi oleh waris-warisnya dan mereka tidak boleh mengambil tempat tetamu itu di dalam rumah tersebut sebagai tetamu.

8. Hak yang berkaitan dengan si mati

Setelah seseorang itu mati, sebelum harta-hartanya dibahagikan mengikut system faraid atau pusaka, beberapa hak perlau ditunaikan mengikut tertib seperti berikut:-

i. Hak ain harta (berkaitan dengan harta)
Iaitu hak-hak yang berkaitan dengan ain harta-harta yang ditinggalkan oleh si mati. Oleh itu orang yang mula-mula sekali berhak di dalam harta peninggalan si mati ialah orang yang mempunyai hak berkaitan dengan ain harta itu. Umpama seseorang yang membeli sesuatu benda dari kawannya, kemudian dia mati sebelum ia menerimanya dan membayar harganya, maka si penjual berhak dengan benda itu sehingga dijelaskan harganya. Begitu juga harta yang digadai oleh simati semasa hidupnya, maka pemberi gadai hendaklah dibayar untuk menebus ain harta itu.

ii Hak persiapan pengkebumian
Iaitu perbelanjaan yang dikehendaki untuk dilakukan terhadap si mati dari masa mati sehingga dikebumikan. Perbelanjaan yang dimaksudkan ialah belanja memandikannya, mengkafankannya, membawanya ke kubur dan menannamkannya. Perbelanjaan ini hendaklah secara patut dan tidak berlebih-lebihan. Dalam Mazhab Shafie, Syeikh Syarbini al-Khatib ada menjelaskan bahawa mengadakan jamuan makan dari keluarga si mati dan menghimpunkan manusia ke atasnya adalah bidah tidak disunatkan. Oleh itu sesiapa yang membelanjakan sesuatu daripada harta peninggalan si mati , hendaklah diganti.

ii. Hak hutang piutang
Setelah menyelesaikan belanja pengkebumian, jika ada lebih hartanya, hendaklah diselesaikan hutang piutang si mati. Hutang-hutang ini termasuklah hutang dengan manusia dan hutang dengan Allah. Dalam Mazhab Shafie, hutang Allah hendaklah didahulukan daripada hutang dengan manusia. Hutang-hutang Allah ialah seperti zakat yang belum ditunaikan, haji yang belum sempat dilaksanakan, kafarah dan nazar. Hutang dengan manusia seperti hutang wang dan sebagainya.

iv. Hak wasiat
Setelah selesai menyempurnakan hak-hak yang tersebut tadi, barulah kita sempurnakan wasiat si mati jika ada lebihan hartanya dan tidak lebih satu pertiga daripada baki harta tersebut. Sekiranya lebih daripada satu pertiga, adalah tidak sah wasiat itu yang lebihan tersebut kecuali diizinkan oleh ahli-ahli warisnya.

v. Harta Sepencarian
Seterusnya, jika ada antara waris-waris yang ingin menuntut harta sepencarian bersama si mati, ia hendaklah mengemukakan tuntutannya ke Mahkamah Syariah sebelum harta itu difaraidkan. Harta Sepencarian ialah harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak.

vi. Hak waris (Harta Pusaka)
Setelah disempurnakan hak-hak yang disebutkan tadi, bolehlah dibahagikan yang baki itu kepada ahli waris si mati yang berhak mengikut syarat dan tertibnya.

9. Waris-Waris Yang Tidak Terlindung/Terhalang Oleh Sesiapapun

Terdapat 5 orang waris di dalam sistem pusaka Islam yang tidak dihalangi oleh sesiapapun di dalam pembahagian harta pusaka si mati, iaitu:-

i. Suami/ Isteri

ii. Bapa

iii. Ibu

iv. Anak Perempuan

v. Anak lelaki



Semoga keterangan ringkas di atas dapat memberi sedikit maklumat asas tentang ilmu Faraid kepada anda

No comments:

Post a Comment